SIBU 24 Nov. – Seorang penunggang motosikal menemui ajal di tepi batu nisan selepas dirempuh kereta Porsche di Jalan Tun Abang Openg, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Ting Yew Kui, 50, yang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar tercampak di tepi batu nisan kawasan perkuburan Kristian di sini akibat rempuhan itu dan meninggal dunia serta merta.
Menurut jurucakap polis, mangsa yang menetap di Jalan Broke maut akibat kecederaan parah di kepalanya selepas dipercayai terhantuk pada batu nisan di kawasan perkuburan itu.
Katanya, Porsche hitam itu pula remuk di bahagian hadapan ekoran perlanggaran itu.
“Siasatan awal mendapati, pemandu Porsche itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
“Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak ke kawasan perkuburan di situ manakala pemandu kereta mewah yang cedera ringan dibawa ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Martin Koo berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.