19 November 2015


Penemuan dua rangka manusia di tali air Kampung Pak Keral, Tumpat, kelmarin mungkin merungkai misteri kehilangan kanak-kanak berusia 10 tahun yang dikatakan dilarikan seorang tomboi, dua tahun lalu.

Mangsa, Nur Zalila Ibrahim, 10, dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Jelujok pada 27 Mei 2013 selepas keluar ke kedai runcit berhampiran rumahnya.

Kanak-kanak itu dikatakan 'dilarikan' oleh tomboi berkenaan dikenali sebagai Along, 23. Mereka berdua gagal dikesan sehingga ke hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dua rangka yang ditemukan dalam tali air itu adalah mereka berdua yang hilang sejak lebih dua tahun lalu.

“Pasukan kita menemui dua tengkorak manusia dengan tulang yang berselerakan di tali air tersebut. Kita menyiasat sama ada rangka ini bersabit dengan laporan seorang kanak-kanak hilang pada Mei 2013 lalu.

“Kedua-duanya dilaporkan hilang semasa pergi ke kedai bersama sebuah motosikal (Honda EX5). Motosikal tersebut kita berjaya temui tetapi mereka berdua gagal dikesan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya masih menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.

Kelmarin, penduduk kampung yang sedang melakukan kerja pembersihan tali air di Kampung Pak Keral di sini gempar selepas menemukan tulang berselerakan serta sepasang korset kira-kira pukul 7 petang.

Pada 2 Jun 2013, akhbar melaporkan kehilangan Nur Zalila yang dipercayai dilarikan Along yang merupakan kenalan kepada kakak mangsa, Nurul Huda, 18.

Turut lesap motosikal jenis EX5 berwarna merah bernombor pendaftaran DBV5347 dinaiki mereka.

Bagaimanapun, motosikal berkenaan ditemukan beberapa hari kemudian di dasar tali air selepas tersangkut pada jala seorang penduduk kampung.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!