24 November 2015


Sikap DAP selama ini yang merosakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat apabila suka mencari gaduh dan selalu cuba menjadi 'abang besar' dengan rakan sekutunya.

Naib Ketua Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, sikap itu juga pasti akan terus menjadi duri dalam daging terhadap sekutu baharu, Pakatan Harapan.

"Mereka (DAP) sanggup bergabung untuk dapatkan kuasa dan bila sudah dapat kuasa mereka akan tunjuk perangai besar kepala.

"Tidak cukup dengan Pas, kini DAP mula menyerang PKR di Pulau Pinang pula dengan menuduh lima Adun PKR menyokong dan bersekongkol dengan Umno," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, lima wakil rakyat PKR itu disifatkan 'bersama Umno' selepas mereka mengambil sikap berkecuali dalam proses pengundian usul berkaitan projek penambakan tanah di laut yang dikemukakan pembangkang pada sidang Dun negeri itu.

Menurut Khairil, pada DAP sekiranya memutuskan untuk berkecuali atau tidak penyokong mereka, pasti dikatakan menyokong Umno.

"Sebelum itu, pada persidangan Dun Mei lalu, DAP telah mengugurkan empat daripada lima usul yang dikemukakan oleh Adun PKR (Penanti), Norlela Ariffin hingga mencetuskan rasa ketidakpuasanhati dan menunjukan sikap ‘double standard’ DAP Pulau Pinang terhadap usul-usul yang dikemukakan oleh Adun-adun selain dari DAP.

"DAP semakin angkuh khususnya di Pulau Pinang dan cuba membolot semua keputusan-keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri hingga mengenepikan hak parti-parti Pakatan lain untuk bersuara," katanya.

Dalam pada itu, Khairil menyampaikan ucapan terima kasih kepada Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP atas sifat 'prihatin' yang tidak pernah berhenti menyatukan Pas dengan Umno melalui kenyataan-kenyataannya.

"Pas amat jelas dan faham akan tahap meroyan beliau yang dilihat masih kecewa kerana impiannya untuk melihat presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dijatuhkan dalam muktamar lepas melalui rakan-rakan politiknya dalam parti Amanah sekarang telah menemui kegagalan.

"Serangan Guan Eng atas nama DAP kepada Pas bukanlah perkara baru. Malah setiap minggu jika beliau tidak sebut Pas mahu bergabung dengan Umno memang tidak sah dan nampak pelik.

"Pemuda Pas sungguh terhibur dengan lawak Pas-Umno yang tiada berkesudahan sejak 2008.  Hampir tujuh tahun berlalu, gosip Pas bergabung dengan Umno dimainkan daripada Pas bersama dalam Pakatan Rakyat hingga bersendirian," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau mengingatkan agar DAP turut melihat kepincangan dalam organisasi mereka sendiri seperti di Selangor.

"Tony Pua yang menduduki carta undian nombor 8, jauh di belakang Gobind Singh Deo diangkat sebagai sebagai Pengerusi DAP Selangor sekali gus menidakkan mandat perwakilan yang memilih pemimpin terbaik mereka.

"Nampaknya nama parti itu, 'DAP - Parti Tindakan Demokratik' perlu ditukar sebagai Parti Tindakan Kuku Besi!," katanya.

Tambahnya, "DAP yang juga bangga mencanangkan bahawa parti mereka kini mendapat sokongan masyarakat Melayu ternyata masih gagal menempatkan pemimpin Melayu dalam kalangan kepimpinan mereka melalui proses undian.

Tiada satu pun pemimpin Melayu diterima dan diberikan mandat dalam pemilihan DAP Selangor dalam sesi pemilihan baru-baru ini."

Beliau turut berharap agar pemimpin-pemimpin politik hari ini bersikap matang dan menjaga parti masing-masing serta mencari isu-isu yang lebih konkrit untuk menewaskan Pas, bukannya sekadar mengulang-ulang cerita lama yang tiada berkesudahan.

"Sibuk kata Pas bergabung dengan Umno, akhirnya bila ombak besar tiba, mereka sendiri tercampak keluar dan hanyut di bawah telunjuk DAP yang koyak rabak dengan pelbagai masalah dalaman.

"Begitulah hebatnya takdir ALLAH.  Sedikit demi sedikit, kebenaran itu muncul dan memalukan diri mereka. Maka bersabarlah wahai ahli Pas. ALLAH bersama dengan kita. Biarkan DAP dan sekutunya terus bermimpi Pas bergabung dengan Umno," katanya
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!