3 November 2015


Pasangan kembar siam yang berjaya dipisahkan 13 tahun lalu kini berazam menyambung pengajian dalam jurusan teknologi maklumat (IT) selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Muhammad Rosli, 17, yang dipanggil Angah berkata, dia berminat mendalami ilmu berkaitan komputer terutama selepas me­nyedari keperluan industri kini yang serba canggih.

“Angah minat dengan dunia IT dan Angah nak sambung belajar jurusan IT jika ada rezeki dan berjaya dalam SPM.

“Sesuai dengan dunia sekarang, semua melibatkan teknologi IT yang melengkapi setiap sistem,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas selesai menjawab kertas Bahasa Melayu, di sini hari ini.

Pasangan itu menjawab kertas Bahasa Melayu di dalam kelas khas yang menempatkan hanya mereka berdua dengan masa tambahan satu jam kerana dikategorikan sebagai calon orang kurang upaya (OKU).

Berkongsi minat yang sama, pasangannya, Ahmad Rosli, 17, berkata, dia juga meminati jurusan berkaitan komputer walaupun dalam masa sama turut meminati dunia seni.

“Kami mengambil sembilan subjek dan semuanya saya rasa sesuai untuk memohon jurusan IT pada masa akan datang,” katanya.

Mereka yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23 itu berada di dalam Kelas 5 Theta iaitu kelas sains tulen.

Sementara itu, bapa mereka, Rosli Abdul Rahim berkata, beliau sentiasa menyokong minat pasangan kembar itu dan menggalakkan mereka untuk terus menuntut ilmu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!