18 November 2015


Warga Putrajaya didapati paling banyak berbelanja di Malaysia apabila merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi iaitu RM5,627 berdasarkan Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2014 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.

Statistik perbelanjaan yang diperoleh melalui kaedah temu ramah bersemuka sepanjang 12 bulan pada tahun lalu itu turut mendapati penggunaan isi rumah bulanan purata di Putrajaya meningkat daripada RM2,981 pada 2009 kepada RM5,627 pada 2014.

Laporan yang diumumkan Jabatan Perangkaan di sini hari ini menunjukkan penggunaan isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat daripada RM2,190 pada 2009 kepada RM3,578 pada tahun lalu iaitu mencatatkan pertumbuhan nominal sebanyak 9.8 peratus setahun atau peningkatan 7.5 peratus pada nilai benar.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di bandar telah meningkat pada 9.3 peratus setahun daripada RM2,465 pada 2009 kepada RM3,921 pada tahun lalu.

Di luar bandar pula, perbelanjaan meningkat pada kadar 8.4 peratus setahun daripada RM1,599 kepada RM2,431.

Selain Putrajaya yang merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi, negeri lain yang merekod kadar atas paras nasional RM3,578 ialah Kuala Lumpur (RM5,559), Selangor (RM4,646), Melaka (RM3,809) dan Johor (RM3,808).

“Negeri lain merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata di bawah paras nasional,” demikian menurut kenyataan Jabatan Perangkaan.

Dalam pada itu, enam negeri merekodkan kadar pertumbuhan melebihi kadar nasional pada 9.8 peratus.

“Putrajaya dan Johor mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 12.7 peratus, diikuti Kuala Lumpur (12.1 peratus), Selangor (11.1 peratus), Terengganu (10 peratus) dan Negeri Sembilan (10 peratus).

“Semua negeri mencatat peningkatan dalam perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata berbanding 2009,” jelas kenyataan itu.

Kajian turut mendapati perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api merupakan penyumbang tertinggi keseluruhan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan pada 2014 iaitu pada kadar 23.9 peratus.

Kajian pada 2014 turut mendapati makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 18.9 peratus sementara minuman alkohol dan tembakau menyumbang 2.3 peratus kepada komposisi perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!