6 November 2015


Juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan rentak kemenangan berterusan apabila menundukkan Perak dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia 2015 di laman lawan, malam ini. Kemenangan JDT di Stadium Perak, Ipoh itu sekali gus meranapkan peluang Perak untuk melangkah ke peringkat seterusnya apabila menduduki kedudukan terakhir kumpulan berbaki satu perlawanan. 

Masih segar dengan kemenangan menjulang trofi berprestij Asia, minggu lalu, JDT yang beraksi tanpa tekanan apabila sudah pun melayakkan diri ke peringkat suku akhir begitupun terlebih dulu ketinggalan menerusi jaringan pemain import, Charles Souza Chad pada minit ke-29. 

Tanpa dikawal, pemain tinggi lampai itu melonjak tinggi menyambut hantaran Hafiz Ramdan menerusi sepakan percuma bagi menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi. Begitupun, kedudukan itu pantas disamakan penyerang JDT, Amri Yahyah lima minit permainan bersambung sekalipun jaringannya dianggap kontroversi. 

Gol kemenangan JDT muncul pada masa kecederaan babak pertama menerusi Safee Sali yang bijak merebahkan badan dan menanduk bola ke gawang Perak menerusi hantaran Amir Saidin. 

Di sebalik rentetan serangan ditampilkan kedua-dua pasukan, tiada tambahan jaringan diledakkan pada babak kedua. JDT ketika ini mengumpul 15 mata maksimum dalam Kumpulan B selepas mencatat kemenangan dalam kelima-lima perlawanan terakhir diikuti Sarawak di kedudukan kedua dengan tujuh mata. 

ATM di kedudukan ketiga dengan empat mata manakala Perak mengumpul tiga mata.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!