5 November 2015


Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem memberitahu, permintaannya kepada rakyat Sarawak supaya diberi peluang lima tahun lagi untuk mentadbir negeri ini bukanlah disebabkan beliau ‘gila’ pangkat.

Sebaliknya ujar beliau, hasratnya itu bertujuan membolehkan beliau melaksana dan menyelesaikan segala perancangan yang diatur sebaik sahaja memegang jawatan sebagai pemimpin nombor satu negeri sebelum ini.

“Bukannya saya gila pangkat, saya pernah jadi menteri di Sarawak, menteri di Kuala Lumpur dan menjadi Ketua Menteri sekarang, cukuplah.

“Saya hanya berminat mahu menjalankan tugas ini (Ketua Menteri) bagi lima tahun akan datang sekiranya anda memberi peluang,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi SEDC, Datuk Talib Zulpilip; Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian) negeri, Datuk Peter Nansian Nguse dan Pengurus Besar SEDC, Soe­dirman Aini.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, tempoh dua tahun tidak mencukupi bagi beliau untuk melaksana dan menyelesaikan apa yang telah dimulakan sejak dilantik menjadi Ketua Menteri pada 28 Februari tahun lalu.

Katanya, jika diberi lima tahun lagi, beliau akan berumur 76 tahun dan bersara selepas itu.

Sebelum ini, Adenan mendedahkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 mungkin diadakan awal tahun depan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk tarikh pembentangan bajet Persekutuan dan negeri serta musim tengkujuh yang mungkin berlaku pada akhir tahun ini.

Sepanjang tempoh pentadbiran beliau, pelbagai keputusan dan tindakan diambil telah memberikan impak positif terutama kepada rakyat seperti penurunan tarif elektrik, pelupusan tol, memerangi aktiviti pembalakan haram dan lain-lain.

Adenan berkata, sepanjang 19 bulan beliau mentadbir, sebanyak 45 keputusan dan tindakan telah dibuatnya demi Sarawak.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada SEDC yang memacu pembudayaan inte­griti dalam organisasinya.

Bagaimanapun katanya, ikrar atau tandatangan integriti terma­suk yang dibuat menteri dan menteri muda sebelum ini bukanlah penyelesaian serta-merta tetapi merupakan tindakan pertama untuk langkah seterusnya dalam menangani rasuah.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!