17 November 2015


Tindakan tiga ahli parlimen Pas yang mengundi menolak Bajet 2016 semalam hanyalah isu kecil dan ianya bukan satu kes disiplin parti yang serius.

Demikian kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sambil menyifatkan jumlah yang kecil tidak akan memberi kesan kepada parti Islam itu.

"Itu prosedur biasa, bila ahli parti tidak ikut keputusan parti, kita akan tanya mereka apa sebabnya.

"Kita juga memberi kebebasan kepada wakil rakyat kita untuk bersuara apa saja dalam Parlimen," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan tiga daripada 14 Ahli Parlimen Pas yang mengundi menolak Bajet 2016 semasa sesi pengundian belah bahagi (blok) dijalankan, pada Isnin.

Tiga wakil rakyat Pas itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad.

Ketika ditanya mengenai tindakan parti terhadap tiga wakil rakyat itu, Takiyuddin bagaimanapun berkata pihaknya belum membuat sebarang keputusan.

"Kita belum fikir (tindakan disiplin), mereka tak ikut arahan parti, tapi bukan satu pelanggaran disiplin parti.

"Kita belum buat keputusan lagi (panggil mereka beri penjelasan), kita kaji dulu (tindakan yang boleh diambil), kita tanya khabar dulu, kita tanya penjelasan awal daripada mereka," katanya lagi.

Kerajaan semalam berjaya meluluskan bacaan pertama Bajet 2016 apabila mendapat undi majoriti menerusi pengundian belah bahagi (blok) yang dijalankan di Dewan Rakyat.

Sebanyak 128 ahli parlimen menyokong Bajet 2016 untuk dibacakan buat kali ke-2, sementara 74 menentang, sekali gus menggagalkan usaha pembangkang untuk melakukan undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!