2 Disember 2015


Lakonan Tian Chua (PKR-Batu) untuk menjadi ‘hero’ dengan membangkitkan kerisauan mengenai ancaman pengganas Kiram memakan diri apabila beliau diselar oleh beberapa wakil rakyat kerajaan berikutan tindakannya mengatur pertemuan antara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua pengganas Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.

Naib Presiden PKR itu bukan sahaja gagal memberi alasan tujuan pertemuan itu yang diatur di Filipina ketika diasak, sebaliknya beliau pula membuat tuduhan kononnya Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed cuba mempolitikkan isu tersebut melalui kenyataannya berkaitan ancaman pengganas yang dibuat pada 28 November lalu.

Terdahulu, Nur Jazlan ketika menggulung Bajet 2016 di peringkat jawatankuasa mengenai kementeriannya mempersoalkan keperluan pemimpin pembangkang berjumpa dengan Jacel selepas perbuatan pengganas Sulu yang membunuh rakyat Malaysia dengan kejam da­lam pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

“Dia bunuh 10 orang kita, jadi kita bunuh orang dia, dia mesti balas dendam, cara dia bunuh orang kita secara kejam potong tangan, potong kepala dan sebagainya, ini orang kejam jadi kenapa Naib Presiden boleh bersama-sama ambil gambar de­ngan seorang musuh negara ini.

“Jadi kenapa kenyataan saya memberi amaran kepada rakyat bahawa bahaya ancaman daripada orang yang pernah serang Malaysia ini diputar belit dan adakah saya bermotif politik sedangkan saya cuma memberi amaran kepada rakyat Malaysia, memang mereka akan membalas dendam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Datuk Dr. Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang mencelah kemudiannya berkata, tindakan pemimpin PKR tersebut menyakitkan hati orang Sabah yang masih terkesan dengan pencerobohan berkenaan, selain tuntutan pengganas Kiram untuk mengambil Sabah daripada Malaysia.

Beliau yang mendesak Tian Chua menjelaskan tujuan pertemuan tersebut berkata, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa pembangkang cuba memberi galakan kepada kumpulan pengganas berkenaan untuk menceroboh Sabah sekali lagi.

“Saya mahu bertanya apa sebenarnya tujuan Ahli Parlimen Batu dan Lembah Pantai bersepakat, kenapa Ahli Parlimen Batu menjadi ‘beruak’ (orang tengah),” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) turut mempersoalkan Tian Chua yang cuba mempolitikkan semua isu termasuk tindakannya sebelum ini yang pernah menggigit telinga anggota polis.

“Dia tak jawab lagi pasal Manila. Lepas itu, dulu Ahli Parlimen Batu pun gigit telinga polis. Itu pun main politik ke?” katanya.

Selepas diasak, Tian Chua masih dilihat cuba berdolak-dalik dan enggan menjawab kerana mendakwa sesi tersebut bukan dikhaskan untuk beliau menjawab sebarang tuduhan yang timbul.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!