15 Disember 2015


New Delhi: Sekurang-kurangnya lima aktivis disambar api ketika cuba membakar patung berbentuk Perdana Menteri Narendra Modi dalam perarakan membantah tindakan partinya yang didakwa menyasarkan Presiden Parti Kongres Kebangsaan, Sonia Gandhi, dan anaknya Rahul dalam kes membabitkan akhbar National Herald.

Demonstrasi yang bermula aman itu tiba-tiba huru-hara apabila penunjuk perasaan mahu membakar patung melambangkan pemimpin berkenaan, namun api menyambar beberapa orang berhampiran.

Seorang aktivis dimasukkan ke Hospital Kolej Perubatan Indira Gandhi kerana mengalami lecuran teruk, manakala tiga yang lain dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan awal.

Seorang aktivis wanita yang bernasib baik tidak cedera walaupun bajunya terbakar.

Jurucakap parti, Naresh Chauhan berkata: “Kejadian berlaku terlalu cepat. Mujur ada antara mereka yang peka dan bertindak pantas, jika tidak mungkin keadaan lebih buruk.”

Saksi berkata, mereka mendengar beberapa ucapan sebelum pengumuman dibuat bahawa mereka akan membakar patung melambangkan Modi.

“Seorang lelaki datang membawa botol berisi petrol yang dituangkan atas patung berkenaan. Ketika itu semua orang bersorak dan bertepuk tangan.

“Namun, tiba-tiba api menyambar beberapa orang berhampiran,” katanya.

Kes National Herald masih berterusan selepas difailkan ahli politik Dr Subramanian Swamy terhadap Sonia serta Rahul, syarikat milik mereka dan pihak tertentu, mendakwa Kongres Kebangsaan India meluluskan pinjaman tanpa faedah kepada pemilik akhbar berkenaan.

Pinjaman itu didakwa tidak dibayar semula, atau dibayar secara tunai yang melanggar peruntukan Akta Lembaga Hasil negara itu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!