White House semalam menempelak Donald Trump (gambar) yang mahu mengharamkan orang Islam memasuki Amerika Syarikat (AS) dengan menyatakan, kenyataan itu tidak melayakkan calon Parti Republikan tersebut bertanding jawatan Presiden negara ini.
Sambil menggambarkan Trump sebagai ‘ahli sarkas’ dengan ‘rambut palsu’ dan cara berkempen yang boleh dikategorikan sebagai ‘sampah dalam sejarah’, jurucakap White House, Josh Earnest berkata, rancangan Trump untuk menghalang orang Islam memasuki negara ini melanggar Perlembagaan.
“Apa yang diucapkan Trump, semalam tidak melayakkan beliau untuk berkhidmat sebagai Presiden,’’ katanya, yang menyifatkan kenyataan calon berumur 69 tahun itu sebagai menjelikkan.
Kenyataan lantang yang jarang-jarang dikeluarkan oleh White House menggambarkan kebimbangan terhadap kesan ucapan Trump tersebut, selepas insiden serangan tembakan rambang yang menyaksikan 14 orang maut di California, kelmarin.
Earnest turut mengkritik pemimpin terkemuka Parti Republikan termasuk pencabar Trump dalam pemilihan calon Presiden AS, Marco Rubio, John Kasich, Chris Christie, dan Jeb Bush yang turut mengutuk kenyataan Trump itu, namun menyatakan bahawa mereka tetap akan menyokong Trump jika beliau dipilih sebagai calon mewakili parti berkenaan.
Sementara itu di Sydney, Australia, bekas Perdana Menteri Australia yang digulingkan, Tony Abbott, hari ini dikecam kerana mengisytiharkan bahawa budaya Barat lebih unggul daripada Islam yang mempunyai ‘masalah besar’.
Kenyataan Abbott itu disifatkan memecahbelahkan dan berat sebelah.
Pemimpin pembangkang Australia daripada Parti Buruh, Nill Shorten menyifatkan kenyataan Abbott itu sebagai tidak produktif dan boleh mengancam keselamatan negara.
Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Australia, Gillan Triggs turut mengkritik Abbott.
“Kita perlu berhati-hati membuat penilaian terbuka mengenai Islam sebagai agama atau penduduk Islam di Australia,’’ katanya.