9 Disember 2015


Mulai 1 Julai 2016, filem cereka tempatan yang memohon tayangan dalam Skim Wajib Tayang di pawagam akan tertakluk kepada kelulusan kumpulan panel penilai kedua yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pe­ngarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman, panel yang terdiri daripada 10 anggota terbabit akan menolak filem yang tidak berkualiti daripada skim itu, sekali gus me­larang daripada ditayangkan di pawagam.

Katanya, peraturan baru itu dibuat bagi mengelak berlakunya lambakan filem tidak berkualiti di pawagam selain memberi ruang tayangan lebih luas kepada filem yang berkualiti me­nemui penonton di pawagam.

“Skim Wajib Taya­ng selama dua minggu itu diwujudkan bagi membantu filem tempatan tetapi dengan adanya peraturan baharu itu hanya filem berkualiti ditayangkan walaupun kuantitinya nanti akan berkurangan,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan peraturan baharu itu di Pitching Centre, Platinum Sentral di sini hari ini.

Kamil berkata, senario itu ada kaitan dengan penurunan kutipan tiket filem-filem cereka tempatan yang semakin merudum sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Katanya, pada tahun 2013 sebanyak 71 filem tempatan dita­yangkan di pawagam dengan kutipan tiket RM85 juta, 2014 (81 filem - RM75 juta) dan sehingga November lalu (85 filem - RM49 juta).

“Finas menyarankan filem cereka yang tidak layak ditayangkan di pawagam itu agar menjualnya kepada Astro First, stesen televisyen, diedarkan dalam bentuk video,VCD, DVD atau blue ray,” ujarnya.

Sementara itu, katanya Finas juga sedang mengkaji untuk menaikkan kadar bayaran lesen permohonan pembikinan filem yang akan dilaksanakan pada tahun depan dengan kadar kenaikan 40 peratus selepas tiada kenaikan sejak 1983.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!