29 Disember 2015


Jepun buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun memohon maaf kepada Korea Selatan berhubung isu wanita negara itu dipaksa menjadi hamba seks ketika Perang Dunia Kedua.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Tokyo dan Seoul mencapai kata sepakat `bersejarah’ hari ini bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Agensi berita BBC melaporkan, selain memohon maaf, Jepun berjanji akan membayar ganti rugi sebanyak AS$8.3 juta (RM 35.67 juta) kepada pentadbiran Korea Selatan bagi membantu mangsa.

Isu tersebut telah menyebabkan hubungan antara kedua-dua buah negara tegang, dengan Korea Selatan mahu Jepun meminta maaf dan membayar wang pampasan kepada mangsa.

Perjanjian hari ini dicapai selepas kedua-dua pihak bersetuju mahu menyelesaikan permasalahan yang berlarutan sejak 1965 itu.

Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida memberitahu pemberita bahawa Perdana Menteri, Shinzo Abe memohon maaf berhubung isu tersebut.

“Abe, sebagai Perdana Menteri Jepun memohon maaf kepada semua pihak yang mengalami penderitaan dari segi fizikal dan mental,” jelas Kishida.

Sekurang-kurangnya 200,000 wanita dipaksa untuk menjadi hamba seks kepada tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dengan kebanyakan daripada mereka merupakan rakyat Korea Selatan.

Selain Korea Selatan, wanita yang dijadikan hamba seks adalah dari China, Filipina, Indonesia dan Taiwan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!