2 Disember 2015


Tiada bukti menunjukkan bahawa rokok elektronik (e-rokok) dan vape berkesan dan boleh membantu menghilang tabiat ketagihan merokok, kata Pakar Perunding Pulmonolgi Hospital Serdang, Dr. Jamalul Azizi Abdul Rahaman.

Beliau juga menegaskan, setakat ini masih belum ada kajian saintifik yang menyokong atau membuktikan bahawa vape dan e-rokok memberi kesan positif untuk membantu individu berhenti merokok.

“Malah, satu kajian menunjukkan bahawa penggunaan vape, e-rokok atau ubat terapi henti merokok seperti gula getah dan pelekat nikotin tidak membawa sebarang perubahan dalam membantu menghilangkan ketagihan merokok.

“Vape cuma bantu setakat 50 peratus sama seperti ubat terapi yang lain dan bukannya 100 peratus. Oleh itu, mengapa kita perlu menambah vape sebagai terapi bantu berhenti merokok memandangkan tidak ada sebarang perbezaan antara ketiga-tiga terapi itu,” katanya.

Dr. Jamalul berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel Bual Bicara Fenomena Vape bersama pakar motivasi Prof Dr Muhaya Mohamad, yang dihoskan personaliti TV3 Ally Iskandar Mohd Mardzi di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pendiriannya berhubung isu vape, Dr. Jamalul berkata, beliau akan menyokong keputusan kerajaan untuk mengharamkan e-rokok dan vape seperti Singapura dan Thailand yang mengharamkan sepenuhnya penjualan dan pengimportan peranti vape.

“Pengharaman ini amat perlu kerana penggunaan vape dan e-rokok ini amat membimbangkan di kalangan generasi muda. Golongan remaja mudah tertarik kepada rasa dan bau vape.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa vape dan e-rokok lebih berbahaya daripada rokok kerana ia menjadi trend dan ‘gerbang budaya’ kepada golongan muda untuk berjinak-jinak cuba merokok,” katanya.

Kepada soalan yang mana lebih berbahaya - rokok atau vape, Dr. Jamalul berkata, rokok lebih berbahaya memandangkan ia mempunyai beribu-ribu bahan kimia berbanding dengan vape, yang hanya mengandungi beberapa bahan kimia termasuk nikotin.

“Bagaimanapun, kita bimbang pengusaha vape akan mencampurkan bahan-bahan larangan seperti dadah ke dalam cecair vape, yang boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

“Kita bimbang penggunaan vape di kalangan kanak-kanak dan remaja yang mula-mula suka-suka sehingga jadi trend sehingga jadi ketagih pada nikotin. Itulah bagaimana berlaku perokok tegar akan bermula,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr. Jamalul berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan negara anggota termasuk Malaysia menghentikan penjualan dan penggunaan vape.

Menurutnya, WHO membuat saranan itu dibuat rentetan daripada laporan 3,000 kes keracunan yang dicatat berhubung vape mengandungi nikotin di Amerika Syarikat sejak tahun 2003.

Sementara itu, Dr. Muhaya mencadangkan Kementerian Kesihatan mengadakan program memberi insentif kepada mana-mana individu yang sihat seperti tidak merokok atau menggunakan vape, paru-paru sihat dan bebas nikotin.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mempunyai kehendak dan kuasa minda tersendiri untuk menjauhi diri daripada menghisap vape dan e-rokok yang membahayakan kesihatan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!