3 Disember 2015


Keputusan menaikkan kadar tambang Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) kepada RM55 berbanding RM35 ketika ini adalah tidak munasabah dan disifatkan sebagai tindakan ‘gila’.

Pengerusi Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan berkata, kenaikan secara drastik itu telah membebankan ramai pengguna dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Ini adalah masalah pihak pengurusan ERL jika mereka tidak menaikkan tambang ERL dalam tempoh masa 14 tahun ini. Sebagai sebuah firma swasta, ERL boleh menaikkan tambang berdasarkan justifikasi mereka, namun peningkatan sebanyak 57 peratus itu dilihat sangat tidak munasabah pada ketika ini.

“Pengurusan ERL tidak harus membebankan pengguna untuk isu operasi syarikat dengan meningkatkan tambang dengan begitu banyak, malah mereka boleh menaikkannya secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Noor mengumumkan kenaikan kadar tambang ERL sebanyak RM20 bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke Klia2 akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari depan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mempertikaikan peranan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang seolah-olah berdiam diri dan tidak menyedari beban yang terpaksa ditanggung masyarakat.

Katanya, sekiranya agensi kerajaan itu gagal meringankan beban masyarakat, adalah lebih baik dimansuhkan sahaja kerana jelas tidak mampu memainkan peranan dengan berkesan.

“Sejujurnya, kenaikan kadar tambang ERL dan beberapa pengangkutan awam lain ini memang tidak munasabah, malah saya sifatkan ini sebagai satu tindakan yang gila. Cuba bayangkan individu yang menggunakan kemudahan itu setiap hari, adakah gaji yang diterimanya setiap bulan hanya untuk membayar tambang tiket.

“Kalau betul syarikat ERL dan pengangkutan awam lain hendak menaikkan kadar tambang masing-masing, saya cadangkan supaya mereka tetapkan terus pada harga paling tinggi seperti RM300 atau RM500 sehala,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pemilik syarikat pengangkutan awam dinasihatkan supaya menarik semula keputusan menaikkan kadar tambang masing-masing kerana tidak mustahil para pengguna memboikot perkhidmatan tersebut.

Katanya, tindakan memboikot itu boleh dilakukan kerana pengguna semakin tertekan dengan kenaikan pelbagai barangan bermula dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST), bayaran tol, kenaikan harga minyak dan terbaharu kadar tambang ERL, Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter.

“Apabila kenaikan ini berlaku, masyarakat tertanya-tanya di mana peranan kerajaan dalam membuat keputusan demi kepentingan rakyat selain tanggungjawab sosial syarikat terlibat terhadap negara,’’ katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!