2 Disember 2015


Militan Negara Islam (IS) dipercayai menjana antara AS$800 juta (RM3.4 bi­lion) hingga AS$900 juta (RM3.8 bi­lion) setiap tahun menerusi aktiviti haram termasuk peras ugut, penyeludupan, penculikan dan mengutip derma daripada negara-negara kaya.

Laporan portal New York Times mendedahkan, kegiatan militan itu dibongkar berdasarkan siasatan antarabangsa terhadap sumber kewangan kumpulan tersebut susulan pengakuan beberapa orang individu yang pernah menjadi mangsa.

Pemandu lori dari Jordan, Mohammad al-Kirayfawai, 38, berkata, dia terpaksa membayar AS$300 (RM1,276) sebanyak tiga kali sebulan kepada militan IS untuk membawa bekalan makanan termasuk aiskrim dan sayur-sayuran ke Iraq.

Menurutnya, anggota IS yang berkawal di sempadan, menyifatkan bayaran itu sebagai duti import dan bukannya rasuah kerana mereka menyediakan resit setem yang dilengkapi logo militan IS.

“Jika saya enggan membayar, mereka akan menahan atau membakar trak saya,” katanya.

Dengan hasrat menubuhkan sebuah kerajaan yang boleh dipercayai, militan IS menubuhkan unit pemburu dan birokrasi yang ganas bagi tujuan mengutip wang dolar, dinar Iraq, dan pound Syria daripada setiap penduduk yang tinggal di kawasan jajahannya.

Kumpulan pengganas itu juga mengenakan tol, saman trafik, sewa bangunan kerajaan, bil kemudahan air dan elektrik, cukai pendapatan, dan denda kepada pesalah yang menghisap rokok atau berpakaian tidak sopan.

Malah bayaran pendaftaran kenderaan masih dikekalkan selain pelajar terpaksa membayar untuk mendapatkan buku teks.

Di kawasan Bab al-Tob di Mosul, Iraq, militan IS menjadikan sebuah balai polis sebagai pasar dengan me­nempatkan 60 buah kedai sayuran dan buah-buahan,dan mengenakan sewa AS$2,500 (RM10,633) setahun.

Situasi yang sama berlaku di bandar Raqqa, Sy­ria apabila militan IS menubuhkan Diwan al-Khadamat atau Pejabat Perkhidmatan untuk mengutip cukai antara AS$7 (RM29) hingga AS$14 (RM59) setiap bulan bergantung kepada saiz kedai.

Perkembangan terbaharu tersebut menunjukkan militan IS tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil penjualan minyak kerana serangan udara yang dilancarkan tentera pakatan antarabangsa menjejaskan operasi pengeluaran sumber tersebut.

Penghasilan sejumlah RM3.4 bi­lion hingga RM3.8 bilion setiap tahun itu ternyata melebihi hasil jualan minyak yang dianggarkan kira-kira AS$500 juta (RM2.1 bilion) setahun dan aktiviti penculikan yang bernilai berpuluh-puluh juta dolar.

Sementara itu, White House mengumumkan perubahan kepada polisi program pengecualian visa­nya semalam, bagi membolehkan pegawai keselamatan memantau pelancong daripada 38 negara yang dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat (AS) tanpa perlu mendapatkan visa.

Jurucakap White House, Josh Earnest dalam satu kenyataan berkata, perubahan polisi susulan serangan di Paris 13 November lalu membenarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) mengumpul maklumat daripada pelancong tentang negara yang mereka lawati sebelum ini seperti di Syria dan Iraq.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!