29 Disember 2015


Syarikat penerbangan baharu tempatan, Rayani Air perlu diterima oleh semua pihak sebagaimana pelbagai kaum di negara ini menerima pematuhan syariah yang terdapat dalam pelbagai sistem termasuk kewangan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pematuhan syariah yang diperkenalkan oleh syarikat tersebut tidak perlu dilihat sebagai satu gimik atau strategi pemasaran tetapi kerana pihak syarikat menghormati penumpang yang mahukan perkhidmatan penerbangan yang memenuhi kehendak dan citarasa mereka.

“Apabila ada syarikat penerbangan yang tahu dan memahami kehendak penumpang apatah lagi yang memenuhi adat-adat ketimuran dan Islam itu sendiri, maka syarikat seperti ini wajar disokong,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan perkhidmatan patuh syariah oleh Rayani Air yang memulakan pe­nerbangan pertama mereka ke Langkawi dan Kota Bharu pada 20 Disember lalu.

Nadzim berkata, apa yang pen­ting penumpang tidak akan menaiki mana-mana penerbangan atau pengangkutan awam yang mempunyai unsur-unsur penipuan di sebalik pelbagai tawaran menarik termasuk tiket tambang murah.

“Mungkin ada sesetengah pihak mempergunakan nama Islam namun tindakan seperti itu akan menjerat mereka kembali.

“Namun saya percaya Rayani Air tidak sahaja cuba mematuhi segala kehendak syariah dalam sistem penerbangan mereka malah mereka mahu penumpang tetap setia memilih sistem penerbangan ini dengan mengekalkan sepenuhnya ciri-ciri patuh syariah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Datuk Syed Mohd. Razif Al Yahya berkata, Bumitra menyokong sepenuhnya perkhidmatan patuh syariah yang diperkenalkan oleh Rayani Air.

Katanya, kehadiran Rayani Air dengan konsep patuh syariah mampu melonjakkan industri penerbangan dengan menjadi pilihan utama dalam kalangan umat Islam dari dalam dan luar negara.

“Namun pematuhan syariah ini perlu lebih dilihat sebagai Islam friendly atau ‘Mesra Islam’ dan Rayani Air perlu lebih bersedia menghadapi cabaran apabila melibatkan penerbangan di peringkat antarabangsa supaya ia tidak menjadi isu dan sasaran pihak-pihak yang suka dan sengaja mencari kesalahan Islam,” katanya.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal pula berkata, pihaknya menyambut baik pematuhan syariah yang cuba diper­kenalkan oleh Rayani Air walaupun syarikat berkenaan dimiliki oleh mereka yang bukan Islam.

Katanya, pemiliknya Islam atau tidak bukan satu persoalan kerana sudah banyak syarikat yang diterajui oleh yang bukan Islam memperkenal dan mengamalkan produk dan perkhidmatan yang bercirikan Islam di negara ini.

“Ini termasuklah sistem perbankan Islam dengan tidak ada kaedah riba dan sebagainya sehinggalah hidangan berbuka puasa secara bufet di rangkaian hotel-hotel di seluruh negara.

“Tidak ada masalah dan semua ini menunjukkan kita umat Islam bukan umat yang rasis walaupun ramai yang menuduh Islam adalah agama yang rasis atau perkauman,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!