9 Disember 2015


Dakwaan terdapat ekstrak perisa ganja di pasaran tempatan bagi memenuhi permintaan sesetengah pengguna rokok elektronik termasuk vape ternyata benar apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menemukan sejumlah besar cecair yang mengandungi bahan terlarang itu yang sedia untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Dalam satu operasi hari ini, Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya mengesan dua premis yang dikatakan menjadi tempat penyimpanan perisa terlarang itu.

Dalam serbuan itu, sebanyak 214 botol cecair vape berjaya dirampas di dua serbuan berbeza di Ampang serta Banting, Selangor.

Pada operasi itu juga, seramai tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter beliau hari ini memberitahu, turut dirampas dalam serbuan itu adalah biskut yang mengandungi ganja.

“Syabas STING PDRM semalam tangkap tujuh orang dan rampas 214 botol cecair vape mengandungi ganja dan biskut ganja di Banting dan Ampang,” katanya di sini hari ini.

Laporan khas Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan, vape yang sepatutnya berfungsi untuk mengawal ketagihan rokok, disalah guna dengan ciptaan baharu perisa ganja dan ketum bagi menyaingi perisa asal seperti mang­ga, coklat, kopi dan oren.

Kandungan propylene glycol (PG) dan nikotin yang wujud dalam perisa vape itu turut dikatakan menjadi punca penggunanya menghidap penyakit asma, angin ahmar dan jantung serta boleh mengakibatkan kulit kering.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut namun memberitahu, maklumat berkaitan kes itu hanya akan didedahkan dalam sidang akhbar yang akan berlangsung di Bukit Aman esok.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!