18 Disember 2015


Siasatan kes jenayah terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dijangka terjejas susulan isu rasuah yang menyelubungi Per­khidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) yang menyediakan bukti penting berhubung insiden pada Julai tahun lalu.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus memberi tekanan kepada Menteri Kehakiman Belanda, Ard van der Steur dan pejabat pendakwa raya awam Belanda untuk mempertahankan integriti bukti yang dikumpulkan oleh SBU.

Menurut laporan portal Irish Times, institusi keselamatan Ukraine itu terpalit dengan beberapa kes rasuah termasuk pemecatan ketua perkhidmatan tersebut, Valentyn Nalyvaichenko walaupun memainkan dua peranan penting dalam siasatan kes MH17.

Tambah laporan terbabit, SBU bertanggungjawab menyerahkan maklumat tentang perbualan te­lefon antara puak pemberontak pro-Rusia yang dipintas sebelum pesawat MH17 ditembak jatuh menggunakan sistem pertahanan buatan Moscow, BUK di timur Ukraine sehingga mengakibatkan 298 orang terbunuh.

Selain itu, SBU juga bertanggungjawab mengawal keselamatan bukti termasuk kerangka utama pesawat selama beberapa jam selepas pesawat Boeing 777 tersebut terhempas di wilayah Donetsk pada 17 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada SBU memiliki bukti penting iaitu dua serpihan peluru berpandu BUK yang ditemukan di bahagian kokpit dan di mayat kapten pesawat.

Pakar undang-undang Belanda, Geert-Jan Knoops berkata, skandal rasuah yang membelenggu SBU mencetuskan keraguan terhadap bukti yang disediakan agensi ke­selamatan tersebut.

“Sebarang siasatan kes jenayah bergantung kepada kesahihan bukti yang disediakan.

“Kita perlu mengetahui bagaimana SBU memintas perbualan telefon puak pemberontak dan siapa yang bertanggungjawab mendapatkan maklumat itu,” katanya.

Selain Knoops, anggota Parlimen Belanda, Pieter Omtzigt turut mempersoalkan kredibiliti SBU dalam menyalurkan maklumat atau bahan bukti bagi membantu siasatan MH17.

“Terlalu sedikit bukti yang boleh mengaitkan pihak terlibat dalam tragedi itu dan bukti penting tersebut disalurkan oleh pihak yang tidak jujur,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!