9 Disember 2015


Ketidakhadiran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada taklimat presiden malam ini dianggap sebagai satu kerugian kepada pemimpin itu. Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata sepatutnya Muhyiddin hadir pada malam ini tetapi kerusi itu dibiarkan kosong. 

"Ini satu kerugian kepada dia (Muhyiddin)," katanya ketika ditemui BH selepas menghadiri majlis itu di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) di sini, malam ini. Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata parti ada menghantar jemputan tetapi Muhyiddin tidak hadir. 

"Ini keputusan beliau," katanya. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, pula berkata sebagai ahli UMNO, Muhyiddin perlu mematuhi dan menghormati pemimpin nombor satu parti. Katanya, jika Muhyiddin tidak menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, beliau harus meletakkan jawatan. 

"Kenapa perlu kekal dalam parti jika bertindak sebagai pembangkang. Kita ada sistem pemilihan jika tidak suka dengan kepimpinan, lawan. "Jika tidak suka pilih gelanggang yang betul. Jangan lawan baling batu sembunyi tangan. "Kalau ingin berjuang cara itu perlu betul. 

Apa yang dia (Muhyiddin) buat begitu menyedihkan," katanya. Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, ketika ditemui, berkata beliau hanya akan memberi komen apabila perhimpunan berakhir.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!