30 Disember 2015


Premis perjudian kini semakin licik menggunakan modus operandi dengan membuat katalog wajah-wajah pegawai dan anggota polis yang membuat serbuan premis mereka sebelum ini.

Taktik tersebut dibongkar dalam 10 serbuan di sekitar Lorong Cunggah, Pelabuhan Klang dekat sini, kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Pegawai Turus Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Selangor, Deputi Superintendan Abdul Ghofar Ahmad Ahmad berkata, siasatan awal mendapati premis-premis ini akan merakam individu disyaki polis dan yang pernah hadir untuk membuat serbuan.

Menurutnya, dengan rakaman tersebut, mereka akan jadikan sebagai gambar-gambar dalam bentuk album.

“Gambar tersebut akan disimpan dalam telefon bimbit bagi memudahkan penjaga di luar premis untuk melaporkan dengan segera jika melihat individu yang disyaki menghampiri premis,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang itu merampas 34 set komputer riba, 157 set komputer, tujuh modem dan sejumlah wang tunai.

Dalam serbuan itu, dua lelaki berusia lingkungan 30-an turut berjaya ditahan.

“Usaha mereka yang dipercayai merupakan penjaga premis cuba melarikan diri gagal selepas tindakan pantas kita berjaya mematahkannya,” katanya.

Abdul Ghofar berkata, operasi sebegini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti perjudian khususnya di seluruh negeri Selangor.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!