30 Disember 2015


Pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh, 30, mengesahkan bakal bergelar isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, 29, Khamis ini.

Menerusi kenyataan yang diedarkan hari ini, Marsha menjelaskan majlis pernikahan itu akan berlangsung di Pulau Pinang dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Bercakap tentang bakal suaminya yang juga seorang ahli perniagaan itu, Marsha berkata, dia sudah mengenali Mohamed Shaiful Nizam sejak 10 tahun lalu dan mula serius menjalinkan hubungan cinta sejak 2013.

“Saya bersetuju untuk mengahwini Shaiful setelah melihat keikhlasan dan kejujurannya sepanjang perkenalan kami. Sifatnya yang sentiasa mengambil berat dan hormat dengan ahli keluarga saya amat menambat hati.

“Dia juga sentiasa memberi sokongan dalam kerjaya seni dan mahu saya lebih maju dalam bidang ini. Di atas sikap yang ditunjukkan ini menguatkan gerak hati saya untuk menerima lamarannya. Doakan majlis perkahwinan saya yang bakal berlangsung berjalan dengan lancar,” katanya.

Memilih untuk tidak terlalu bercerita tentang hubungan cintanya sebelum ini, Marsha memberitahu dia dan Mohamed Shaiful Nizam sudah bertunang sejak 14 Disember lalu, di kediaman keluarganya di Sabah.

“Saya memilih untuk lebih banyak berdiam diri daripada berbicara tentang perancangan perkahwinan saya kepada pihak media kerana ada banyak hal yang kami perlu uruskan sebelum ini. Setelah mencapai kata sepakat antara keluarga dan beberapa perkara sudah disahkan barulah kami bersedia memberi jawapan yang pasti kepada umum.

“Saya sangat gembira sekali dengan penyatuan ini. Apa yang saya harapkan, majlis yang bakal berlangsung nanti berjalan lancar dan menjadi kenangan terindah buat saya dan keluarga kami,” katanya.

Sementara itu, majlis resepsi bakal mempelai ini akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 8 Januari depan.

Dalam pada itu, Marsha turut mengesahkan telah memeluk Islam sejak beberapa minggu lalu dan masih mengekalkan nama asalnya. Majlis pengislamannya dilakukan secara tertutup atas permintaan keluarga.

“Ya saya sudah memeluk agama Islam. Segalanya berjalan lancar seperti apa yang dirancang. Apa yang saya harapkan penghijrahan saya ini tidak disensasikan kerana ia terlalu peribadi buat saya,” jelasnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!