31 Disember 2015


Aksi berani seorang bekas anggota tentera China menyelamatkan seorang wanita yang terjatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di bandar Enshi, tengah negara ini dengan tangan kosong berakhir dengan kisah malang buat lelaki itu apabila dia dimasukkan ke hospital akibat kecederaan yang dialaminya, baru-baru ini.

Meskipun dapat menyambut wanita itu, Feng Ning, 23, cedera teruk akibat impak jatuhan wanita berkenaan yang mengakibatkan dia terseliuh bahu kanan, cedera di lutut kanan, dan koyak tiga da­ripada empat ligamen lututnya.

Tambah menyedihkan buat Feng, wanita yang cuba diselamatkan meninggal dunia, dalam kejadian yang berlaku pada 23 Disember lalu di Chongwen Square.

People’s Daily Online yang dipetik Mail Online melaporkan, ketika kejadian, Feng sedang berjalan di bangunan itu bersama rakannya sebelum dia terdengar jeritan meminta tolong dan melihat seorang wanita sedang bergayut pada sebuah tingkap.

Feng yang melihat wanita itu sedang jatuh cuba menyambutnya, namun beban jatuhan wanita ber­kenaan terlalu kuat hingga mengakibatkan dia turut terhempas ke lantai.

“Saya hanya mahu menyelamatkannya. Saya tahu percubaan itu berbahaya, namun saya tidak dapat berdiam diri tanpa melakukan sesuatu,’’ kata Feng.

Akibat kecederaannya, Feng yang baru meninggalkan perkhidmatan tentera dan bakal memulakan pengajiannya di sebuah universiti perlu menjalani pembedahan yang menelan kos sebanyak 80,000 Yuan (RM50,944) walaupun dia tidak mempunyai sebanyak itu.

Namun Feng bertuah kerana kebanyakan pensyarah dan pelajar universiti yang bakal dimasukinya, mendermakan wang bagi tujuan pembedahan selepas mengetahui tindakan beraninya yang cuba menyelamatkan wanita berkenaan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!