Seorang pemuda melakukan aksi ngeri di udara apabila terjun dari sebuah belon udara panas pada ketinggian 4,000 meter tanpa payung terjun dan selamat mendarat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Portal berita Mirror Online melaporkan, Antti Pendikainen, melakukan aksi yang disifatkan sangat berani atau bodoh itu di ruang udara di selatan Finland.
Dia nekad bertindak membuka beg payung terjunnya dan mencampakkannya ke tepi sebelum terjun dari belon udara panas selepas dua rakannya melompat terlebih dahulu.
Pendikainen kemudian bertindak berpaut pada seorang rakannya yang memakai payung terjun sebelum mendarat dengan selamat.
Pendikainen, 25, berasal daripada Finland berkata, “Saya sememangnya ingin melakukan terjunan itu dan sekarang saya telah lakukannya.”
“Saya membayangkan semua perjalanan aksi itu dalam kepala saya, jadi saya tahu aksi yang dilakukan berada dalam kawalan sebelum saya melakukannya,” tambahnya.
Katanya, dia telah melakukan latihan selama setahun untuk melakukan terjunan itu.
“Saya suka melakukannya aksi lagak ngeri yang lucu sejak saya masih kecil. Saya tidak takut dan saya mahu lakukan lagi sesuatu yang lebih gila dan menyeronokkan,” katanya.