31 Disember 2015


Kerajaan negeri akan mengharamkan penggunaan dan kegiatan perniagaan rokok elektronik atau vape mulai Jumaat ini, selaras dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda berkata, tindakan susulan berhubung aspek penguatkuasaan itu akan digerakkan oleh pihak-pihak berkuasa tempatan melalui bidang kuasa masing-masing bagi membataskan amalan itu daripada terus menular.

“Sehubungan itu, pihak kerajaan akan mengadakan perjumpaan bagi berbincang dengan kalangan peniaga rokok jenis baharu itu pada 3 Januari hadapan bagi memberi penerangan dan meminta mereka menghentikan kegiatan.

“Sambil itu berbincang bagaimana mereka dapat beralih kepada perniagaan lain yang lebih baik,” ujarnya kepada pemberita di sini petang ini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri semalam, yang memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik atau vape sama ada mengandungi nikotin atau tidak, adalah haram pada pandangan Islam kerana antara lain amalan itu termasuk dalam perkara jijik.

Keputusan yang selaras dengan Majlis Fatwa Kebangsaan itu turut berdasarkan hujah yang berkait dengan kemudaratan kesihatan dan juga unsur pembaziran dengan bersandarkan dalil dan hujan dalam al-Quran dan hadis.

Dalam pada itu, Jabatan Mufti dalam satu kenyataan hari ini yang menghuraikan fatwa itu memberitahu, pengharaman diputuskan dalam mesyuarat khas semalam, yang difahamkan selepas bersidang hampir enam jam, sebelum membuat ketetapan sebulat suara.

“Di pihak Jabatan Mufti negeri, kami amat sedih dengan perkembangan penggunaan rokok jenis baharu yang semakin berleluasa sehingga melibatkan bukan setakat orang dewasa malah juga para remaja, kanak-kanak dan kaum wanita.

“Rokok elektronik atau vape bukan setakat mendatang mudarat, bahkan juga mengundang pembaziran di kala umat Islam perlu mengukuhkan ekonomi mereka dalam zaman yang serba mencabar ini,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, malah amalan itu juga merendahkan moral dari sudut lahiriah kalangan penggunanya.

“Apapun keadaannya, cara pendidikan boleh jadi jawapan terbaik dalam mengatasi masalah penggunaan rokok baru itu, namun tidak selamanya umat Islam bergantung kepada pendidikan.

“Perlulah ada langkah-langkah oleh pihak berkuasa di semua peringkat untuk membasmi penggunaannya,” ujar kenyataan itu.

Kerajaan negeri sebelum ini mengambil pendirian untuk menyelaras dengan ketetapan Kerajaan Pusat di samping menanti keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri sebelum membuat langkah susulan berkaitan isu berkenaan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!