16 Disember 2015


Spekulasi yang mengaitkan Zainal Abidin Hassan bakal mengendalikan juara Piala Malaysia, Selangor kini semakin kuat selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) semalam mengesahkan, bekas pemain kebangsaan itu tidak lagi membimbing Tok Gajah, musim depan.

Pahang, yang menutup musim 2015 tanpa sebarang kejuaraan mengumumkan pelantikan bekas pemain tengah Tok Gajah pada era 90-an, Ahmad Shaharuddin Rosdi sebagai Ketua Jurulatih baharu untuk musim 2016

Zainal ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam, tidak mengiakan mahu pun menafikan mengenai perpindahan ke Selangor, sebaliknya beliau menegaskan, segala persoalan akan dijawab dalam satu sidang akhbar khas yang akan diadakan di Kuantan, esok.

“Terlalu ramai yang bertanya saya untuk mendapatkan kepastian mengenai perkara ini, jadi saya susah hendak melayani media satu per satu. Saya akan buat satu sidang akhbar khas di Kuantan pada Khamis ini untuk menjelaskan segalanya,” ujar jurulatih berusia 54 tahun itu.

Selain Selangor, Zainal yang pernah menyarung jersi Red Giants pada 1980-1982, 1985-1990 dan 1997-1999 turut dikaitkan dengan perpindahan ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rakan baik Zainal ketika di Pahang dan Selangor, Dollah Salleh pernah mengendalikan PDRM pada 2014 sebelum menerima panggilan untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan.

Menurut PBNP, Shaharuddin, 40, yang sebelum ini menggalas tugas penolong jurulatih kepada Zainal dipilih berdasarkan rekod anak kelahiran Kuantan itu sebagai pemain serta jurulatih.

“Beliau sudah berkhidmat sebagai jurulatih bersama PBNP selama enam tahun, kami berani sebab kami yakin dengan kemampuannya berdasarkan prestasinya sewaktu membantu Dollah Salleh dan Zainal Abidin sebelum ini.

“Ini merupakan tradisi dan cara kami, bermula dari Dollah, Zainal Abidin dan sekarang Ahmad Shaharuddin,” kata Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim kepada Utusan Malaysia.

PBNP menerusi laman sosial Facebook mengumumkan pelantikan Shaharuddin sebagai Ketua Jurulatih selepas pertemuan antara Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dengan barisan pengurusan tertinggi persatuan itu.

Shaharuddin bukan nama asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan telah menyarung jersi Pahang sejak 1994 hingga 2003 sebagai pemain tengah serta memenangi kejuaraan Liga Perdana pada 1995 dan Naib Juara Piala Malaysia 1995 dan 1997.

Kariernya sebagai jurulatih bermula daripada jawatan penolong jurulatih skuad Piala Belia Pahang bawah 19 tahun (2007- 2008) dan Penolong jurulatih Piala Presiden Pahang dari 2009 hingga 2010 sebelum dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Liga Super Pahang sejak 2010 di bawah dua Ketua Jurulatih iaitu Dollah dan Zainal Abidin.

Fuzzemi berkata, pelantikan Ahmad Shaharuddin berkuatkuasa serta merta dan beliau telah diarahkan untuk menyusun latihan dan program persediaan skuad Tok Gajah untuk saingan musim depan.

Sementara itu, Shaharuddin berharap, semua peminat memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan dan mengambil kira sejarah silamnya sebagai pemain Pahang serta tidak membuat sebarang penilaian awal tergesa-gesa.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!