Walaupun turut menyuarakan minat untuk menaja Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, namun Kelantan tetap menjadi pilihan Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.
Pengasas syarikat Vida Beauty itu mengakui, beliau 99 peratus akan menaja The Red Warriors (TRW) dan hanya menunggu masa untuk memeterai perjanjian.
Mengenai tiga lagi pasukan yang disebut sebelum ini, ia hanya gurauannya jika perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak menjadi kenyataan.
"Namun, saya boleh katakan 99 peratus kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan bakal terjalin,” demikian kata Hasmiza, yang lebih dikenali sebagai Dr. Vida ketika ditanya mengenai perkembangan penajaan tersebut yang menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.
Kata Dr. Vida, segala perbincangan berhubung tajaan itu sedang rancak berjalan dan menuju ke arah perkembangan yang cukup positif.
Beliau berkata, kata putus mengenai perkara tersebut akan diberikan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sebaik sahaja beliau pulang dari mengerjakan ibadah umrah dalam tempoh terdekat.
"Saya harap segala usaha ini bakal menjadi kenyataan. Saya nak produk Qu Puteh dan Pamoga berada setanding dengan pasukan The Red Warriors.
"Kita mahu Qu Puteh dan Pamoga seiring bersama dengan The Red Warriors memacu kegemilangan di peringkat Asia," katanya lagi.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan Kafa akan memuktamadkan perkara berkaitan tajaan syarikat Vida Beauty terhadap pasukan The Red Warriors dalam tempoh terdekat.
Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berkata, keputusan tersebut bakal diumum sebaik sahaja Annuar kembali ke tanah air.
Dr. Vida yang terkenal dengan slogan ‘Qu Puteh, Barulah Putih’ bagaimanapun membalas, sekiranya rundingan terlalu ‘rumit’ atau tidak menjadi, beliau tidak menolak untuk beralih kepada gergasi bola sepak tempatan yang lain seperti Selangor.
Sebagai anak jati Kelantan yang dilahirkan di Machang, TRW bagaimanapun paling dekat di hati Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty itu daripada semua pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia.
Malah beliau berharap dapat membantu pasukan negeri kelahirannya mengembalikan kegemilangan ketika menjuarai gelaran treble 2012.
Dr. Vida bagaimanapun memberi dua syarat kepada Kafa iaitu Stadium Sultan Muhammad Ke-IV perlu dicat dengan warna merah jambu kerana dapat menghasilkan satu kelainan kepada penyokong bola sepak Kelantan.
Beliau juga mahu nama pasukan Kelantan ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.