19 Januari 2016


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan bahawa parti itu mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik termasuk UMNO.

Beliau berkata, kerjasama dengan UMNO adalah lebih tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar­ Islam demi kepentingan seluruh umat Islam di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik.

Menurutnya, adalah tidak salah sekiranya Pas mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan parti lawan asalkan pihak terbabit bersedia menerima pandangan untuk sama-sama membangunkan syiar Islam.

Malah jelas Abdul Hadi, tanpa diketahui umum, suatu ketika dahulu beliau sendiri pernah diberi tanggungjawab mengetuai misi pendamai bagi mewakili umat Islam negara ini menjadi orang tengah dalam usaha menyelesaikan konflik di Yemen.

“Pada waktu itu, kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra telah mengarahkan pihak kedutaan kita di sana (Yemen) membantu saya secara diplomatik untuk menjadi pendamai dalam konflik tersebut.

“Dengan urusan diplomatik itu, saya telah berjumpa dengan para pemimpin puak-puak yang bertelagah yang akhirnya berjaya mencari jalan perdamaian. Maknanya pada masa itu kita (Pas) telah jalin kerjasama dengan kerajaan khususnya UMNO,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucaptama dalam Program Nadwah Ulama 2016 bertajuk Politik Terkini & Hala Tuju Pas di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (Komtaq), Batu Enam di sini hari ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat; Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Datuk Hussin Awang dan Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah.

Ketika menjawab soalan para peserta dalam sesi dialog selepas itu, Abdul Hadi berkata, beliau juga pernah mengemukakan pandangannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu berkaitan Islam di peringkat antarabangsa.

“Saya telah beri pandangan dan nasihat kepada Perdana Menteri supaya meminta kerajaan Bangladesh membebaskan tokoh-tokoh Islam negara itu daripada tahanan. Saya juga ada jumpa Dr. Mahathir dan kami berbincang mengenai perkara yang sama.

“Kita juga sedang berbincang dengan pucuk pimpinan negara bagaimana untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Inilah bentuk kerjasama yang kita jalinkan, takkan tak boleh. Takkanlah nak bersalam pegang tangan pun tak boleh,” ujarnya.

Kepada soalan mengenai hala tuju Pas dalam hubungannya dengan PKR, Abdul Hadi menegaskan bahawa Pas akan meneruskan kerjasama dengan parti berkenaan selagi kedua-duanya selari dari segi akidah, dasar serta matlamat.

Menurut beliau, jika PKR menolak orang Islam sebagai pemimpin atau lebih memberi keutamaan kepada kaum tertentu sahaja, Pas tetap membantah dan situasi itu memperlihatkan Pas dan PKR tidak lagi sehaluan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!