28 Januari 2016


KABUL– Misteri pemilik ‘jersi’ diperbuat daripada beg plastik bertulis Lionel Messi, ak­hirnya terungkai apabila seorang budak lelaki berusia lima tahun dari Afganistan akhirnya mengakui bahawa dialah yang mencipta ‘jersi’ berkenaan.

Sebelum ini, wujud satu kempen mengesan identiti kanak-kanak bermain bola memakai ‘jersi’ berjalur biru putih dengan perkataan ‘Messi 10’ dalam laman sosial, selepas diviralkan dan dikongsi ramai pihak sejak awal bulan ini.

Malah, bintang Barcelona, Messi turut terpesona dengan gambar berkenaan dan berhasrat menemui kanak-kanak itu bagi menghadiahkan sendiri jersi bola sepak sebenar kepadanya.

Di tengah-tengah kempen me­ngesan budak lelaki berkenaan, muncul seorang kanak-kanak Kurdis berusia 10 tahun dikenali sebagai Human Ali Ahmed mendakwa dialah kanak-kanak tersebut dan dia mengakui amat meminati bintang kelab bola sepak Barcelona itu serta terlalu miskin untuk membeli sehelai jersi.

Dakwaan Human yang berasal dari Qasara iaitu sebuah perkampungan tidak jauh dari Dohuk, Iraq itu bagaimanapun tidak kukuh selepas seorang lelaki Azim Ahmadi, bapa saudara kepada kanak-kanak pemilik ‘jersi’ sebenar berasal dari Afganistan tampil dengan bukti yang lebih meyakinkan.

Azim yang kini menetap di Australia, telah memuat naik gambar anak saudaranya, Murtaza Ahmadi yang dilihat memakai jersi beg plastik itu, sekali gus membuktikan bahawa kanak-kanak yang dimaksudkan itu ialah Murtaza.

Kenyataan itu disokong oleh abangnya, Arif yang juga bapa kepada Murtaza.

Kata Arif, gambar asal anaknya yang menjadi kecoh dalam Internet itu telah diambil oleh anak lelaki sulungnya iaitu Hamayon yang kemudian dimuat naik dalam laman Facebook beliau.

“Anak kecil ini (Murtaza) sangat menggemari Messi dan bola sepak. Bagaimanapun, agak sukar untuk kami menunaikan hasratnya membeli sehelai jersi, memandangkan saya bekerja sebagai petani. 

Jadi, dia memilih untuk menggunakan plastik sahaja sebagai jersi.

“Murtaza dapat tahu mengenai perkara ini daripada rakan-rakannya selepas melayari Internet. Anak saya itu sangat berharap dapat bertemu dengan Messi dan menjadi pemain bola sepak sepertinya suatu masa nanti,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!