14 Januari 2016


Pasukan kecil yang gagal menyerlah dalam persa­ingan musim lalu menerima kesan paling teruk dalam usaha mereka mencari penaja yang dapat membantu menampung per­belanjaan mereka untuk musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Sedangkan pasukan yang bo­leh dianggap terkenal serta me­mi­liki pencapaian yang membe­rangsangkan seperti Kedah pun ma­sih sukar mendapatkan penajaan yang mencukupi inikan pula pasukan kecil seperti Kuala Lumpur yang beraksi dalam Liga Perdana.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata tugas untuk menguruskan sesebuah pasukan bagi menghadapi persaingan selama satu musim bukan mudah seperti yang disangka kerana banyak wang yang perlu dikeluarkan terutamanya pada awal musim.

“Sebenarnya nak cari penaja saya boleh katakan bergantung kepada pasukan itu sendiri sebab itu semuanya berdasarkan kepa­da prestasi mereka. Kalau pasukan itu cemerlang maka senang­lah nak cari penaja...kalau tidak susahlah.

“Berdasarkan musim lalu, tidak begitu banyak syarikat yang tampil untuk memberi tajaan kepada KLFA. Boleh dikatakan sukar mencari penaja. Bagaimanapun apa yang penting adalah segala bayaran kami dapat langsaikan tanpa perlu berhutang, terutamanya gaji pemain.

“Untuk memulakan musim sesebuah pasukan perlu ada sejumlah wang yang banyak sebab kami perlu membayar deposit pemain import sebanyak tiga bulan. Katakan gaji seorang pemain import AS$9,000 (RM39,000), perlu bayar deposit untuk tiga bulan. Itu baru seorang pemain kalau empat (orang) sudah berapa?

“Itu belum termasuk depo­sit penyertaan yang perlu di­bayar kepada FMLLP (Kerja­sama Liabiliti Bola Sepak Ma­laysia Berhad) sebanyak RM150,000 untuk Liga Super manakala Liga Perdana RM100,000.

“Selain itu juga kami perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membayar insurans kepada pemain seandainya berlaku kecederaan ketika beraksi bersama pasukan. Insurans paling murah RM2,200 dan paling mahal RM2,900.

“Untuk mencari penaja pada musim ini ada tapi masih belum diketahui dan akan diumumkan sendiri oleh Presiden KLFA dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kesukaran untuk mendapatkan penajaan bukan hanya dialami oleh KLFA malah Kelantan yang menerima tajaan daripada pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman sebanyak RM16 juta selama dua musim namun Presiden Persatuan Bola sepak Ke­lantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa masih menganggap jumlah tersebut belum mencukupi.

Tidak ketinggalan, juara Liga Perdana, Kedah juga sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana syarikat untuk menaja pa­sukan Lang Merah selepas perkara tersebut diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kesukaran sesetengah pasukan dalam mendapatkan penajaan menimbulkan tanda tanya kepada kemampuan mereka untuk kekal bertahan daripada terkubur begitu sahaja gara-gara tiada duit mencukupi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!