6 Januari 2016


Gadis yang berbohong dengan menyatakan telah diculik di Bandar Sultan Suleiman, Ahad lalu, Nur Amirah Atirah Abdul Majid, 14, akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini bersama teman lelakinya esok.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, Nur Amirah akan didakwa di bawah Seksyen 196 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan palsu.

Menurutnya, lelaki berumur 19 tahun yang dipercayai teman lelaki Nur Amirah dan ditahan bersama-sama gadis itu Jumaat lalu pula akan didakwa di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Seorang lagi lelaki berumur 45 tahun yang turut ditahan kerana menumpangkan Nur Amirah sepanjang kehilangannya dibebaskan dan hanya dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

“Pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang kira-kira pukul 9 pagi esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, keputusan untuk mendakwa Nur Amirah dibuat sebagai pengajaran kepada semua pihak bahawa tindakan mengeluarkan kenyataan palsu adalah satu kesalahan.

“Pihak polis melihat perkara ini dari pelbagai sudut dan kita hendak beritahu masyarakat bahawa kalau buat macam ini (kenyataan palsu) adalah salah, sekali gus dapat mengelak gejala ini berleluasa,” ujarnya.

Ditanya tempoh Nur Amirah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), beliau menjelaskan, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada agensi terbabit.

“Terpulang kepada JKM nak tahan sampai bila, tetapi teman lelakinya masih lagi ditahan reman sehingga esok,” katanya.

Sebelum ini, Nur Amirah Atirah mendakwa telah diculik oleh dua lelaki India di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang dekat sini sebelum rakaman perbualan telefon remaja itu meminta tolong kakak angkatnya tersebar menerusi laman media sosial.

Bagaimanapun tembelang remaja tersebut terbongkar selepas dia akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat bersama teman lelakinya kira-kira pukul 10 malam, Khamis lalu di sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, Banting.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!