7 Januari 2016


Rakan yang seorang ini memang sudah lama tidak bersua. Sifatnya yang peramah, suka bergurau senda dan kelakar sentiasa menceriakan suasana apabila sesekali berkumpul, sehinggakan ramai yang tidak perasan dia sebenarnya mengalami kepahitan hidup dalam alam rumah tangga.

Rosni (bukan nama sebenar), 40, biarpun tidak mempunyai wajah yang menarik, penampilannya yang sentiasa elegan menjadikan dia amat disenangi oleh setiap lelaki. Pada usia mudanya, dia, seringkali menjadi rebutan dalam kalangan kaum Adam.

Namun dia bukanlah calang-calang wanita, cita rasanya bukan terhadap lelaki tempatan kerana dia lebih terarah kepada lelaki asing. Cita rasa hebatnya itu yang menjadikan ramai dalam kalangan lelaki yang memujanya kecewa begitu sahaja. Baginya lelaki tempatan bukan layak di hatinya.

Ketika bertemu dengannya baru-baru ini, Rosni sebenarnya sudah pun menjanda dua kali dan sekarang dia digantung tidak bertali. Dia kini rasa bebas dan tidak perlu banyak berfikir, hanya perlu menumpukan perhatian kepada anak perempuan tunggalnya hasil daripada perkahwinan pertama, seorang lelaki Arab berasal dari Maghribi.

“Perkahwinan pertama hanya bertahan selama dua tahun sahaja. Ketika itu usia aku 25 tahun dan dia 35 tahun. Kami bertemu di lapangan terbang ketika dia mahu berangkat balik ke negara asalnya setelah melancong ke sini.

“Orangnya memang kacak, hidungnya mancung terpacak dengan kulit kemerahan.

“Hasil pertemuan berkenaan, kami sering bertanya khabar menerusi laman sosial dan selepas enam bulan berkenalan, dia yang mendakwa mempunyai sebuah perniagaan di negaranya, telah melamar aku.

“Kami bernikah biarpun pada awalnya mendapat bantahan daripada kedua orang tua aku kerana menganggap keputusan tersebut terburu-buru memandangkan aku sendiri tidak mengenali latar belakangnya.

“Setelah bernikah dia menetap di Kuala Lumpur. Pada awal bulan pertama dia tidak melakukan apa kerja hanya makan, tidur dan duduk menghadap komputer sahaja. Apabila ditanya bagaimana dengan perniagaannya di Maghribi, dia memberitahu semuanya berjalan lancar kerana dia menguruskannya secara online dan ada rakan kongsi yang menguruskannya.

“Lama juga aku tidak bertanya tetapi rasa hairan kerana dia mula meminta duit dan mengadu tidak mempunyai duit. Setiap hari dia akan meminta duit, aku pun mula rasa rimas kerana semua bil aku yang kena tanggung termasuk duit sewa rumah dan belanja dapur,” kata Rosni yang mengakui selalu bergaduh dengan suaminya itu sepanjang perkahwinan mereka.

Rosni mula ragu-ragu dengan dakwaan suaminya yang mengatakan mempunyai perniagaan sendiri di tanah airnya. Namun, dek malas hendak bertegang urat setiap kali bertanyakan soalan-soalan yang sensitif kepada suaminya, dia berdiam diri namun sampai bila.

“Malas aku hendak menanggung biawak hidup. Jadi aku pun memohon fasakh dan kami bercerai.

“Selang tiga tahun kemudian, aku bertemu pula dengan seorang pemuda yang berasal dari Dubai. 

Pada mulanya aku tidak mahu menjalin hubungan dengan lelaki asing lagi sebab tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Sudah jodoh agaknya, aku akhirnya berkahwin juga dengan lelaki ini. Mahmoud (bukan nama sebenar), 38, memang memenuhi cita rasa naluri kewanitaanku. Malangnya, perkahwinan kedua ini hanya kekal empat tahun disebabkan Mahmoud seorang yang sangat cemburu,” kata Rosni.

Jelasnya, rasa cemburu yang keterlaluan menyebabkan perkahwinan mereka berlangsung dalam keadaan tertekan. 
Setiap kali habis waktu pejabat, dia perlu balik ke rumah dengan segera dan tidak boleh keluar rumah sesuka hati.

Sekiranya ada perkara yang tidak disenangi Mahmoud, dia akan segera memarahi Rosni tanpa usul periksa. Bukan sahaja Rosni yang kena tempiasnya, malah anaknya juga turut terasa bahangnya.

Rentetan dari itu, Rosni pun bertindak keluar dari rumah. Akibat terlalu marah, Mahmoud menceraikan Rosni atas alasan isterinya itu nusyuz.

“Aku bersyukur sangat kerana itu yang aku cari selama ini berpisah daripada lelaki yang menghidap mental seperti itu,” katanya berseloroh.

Selepas gagal kali kedua, Rosni berjanji pada diri sendiri enggan berkahwin lagi dengan orang asing, namun takdir menentukan apabila dia berkahwin buat kali ketiga dengan seorang kelasi kapal warga Pakistan lima tahun lalu.

Pernikahan kali ini bertahan hingga sekarang, tetapi bukan kerana rumah tangga mereka bahagia, sebaliknya dia digantung tidak bertali.

Sekarang ini, Rosni sendiri sudah tidak kisah lagi dengan status perkahwinannya.

“Aku mengaku sekarang suami tiada di sini dan aku juga tidak tahu di mana dia berada. Kami hanya bersama dua tahun. Dalam dua tahun itu hanya tiga bulan aku didampingi suami, selebihnya dia akan belayar dan kini dia tidak kembali lagi.

“Apabila disiasat, rupa-rupanya suami aku telah mempunyai dua orang isteri di negara asalnya,” katanya bersahaja.

Apakah dia serik dengan perkahwinan-perkahwinan yang pernah dibina, Rosni sendiri tidak tahu.

Melihat daripada tingkah laku yang bersahaja, malah ketika bercerita tanpa juraian air mata, rasanya dia sudah lali dengan pengalaman yang dilalui.

Secara luarannya kelihatan dia seorang yang sangat tabah, namun sebenarnya hanya dia sahaja yang tahu perihal kesedihan hati akibat perkahwinan yang tidak berjaya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!