12 Januari 2016


Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan rekod kebangsaan 100 meter 10.30 saat milik Watson Nyambek masih lagi diiktiraf buat masa ini sehingga keputusan rasmi berhubung status catatan masa 10.29s dilakukan Badrul Hisyam Abdul Manap diperolehi.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, pihaknya masih belum dapat membuat apa-apa keputusan berhubung rekod dilakukan atlet pecut muda negara Badrul pada Sukan Sekolah Asean 2015 di Brunei berikutan masih memerlukan masa.

Malah Karim juga memberitahu, pihaknya terpaksa mengambil masa lama bagi menentukan rekod Badrul kerana belum lagi mendapat laporan rasmi daripada pihak Persatuan Olahraga Brunei (BAA) sejak bulan lepas.

“Kita sudah hantar surat bagi meminta Brunei agar memberi laporan lengkap berkaitan situasi ini dan biarpun mereka sudah menghantar surat mengakui me­lakukan kesilapan.

“Namun itu tidak memadai kerana kami perlu menilai secara le­bih teliti bagi menentukan catatan masa dilakukan Badrul.

“Buat masa ini rekod Watson masih lagi diguna pakai sebagai rekod kebangsaan dalam acara 100m.

“Kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya untuk memadamkan nama Watson di dalam senarai rekod tersebut tanpa mempunyai bukti-bukti kukuh berkaitan rekod baharu dilakukan Badrul.

“Bagaimanapun ketika ini kami tetap menganggap Badrul adalah atlet 100m terpantas negara biarpun status rekodnya masih belum dapat diputuskan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

Rekod kebangsaan dilakukan Badrul dianggap tidak sah berikutan kegagalan penganjur di Brunei mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Antara yang tidak dipatuhi adalah alat pengukur angin yang tidak berada di garisan 50m serta ketiadaan bukti ‘photo finish’ - dua aspek yang wajib ada untuk mendapat pengiktirafan IAAF.

Sementara itu, Karim turut meminta agar semua pihak bersabar menantikan keputusan rasmi berkaitan catatan masa dilakukan oleh Badrul kerana semuanya memerlukan penelitian sebelum memutuskannya.

“Bukan kita mahu lari daripada isu ini atau menangguhkannya tetapi kita mahukan laporan yang lebih teknikal daripada Brunei.

“Setiap rekod kebangsaan baharu perlu mendapat pengesahan daripada jawatankuasa kami terlebih dahulu kerana kita perlu berlaku adil kepada pemegang rekod ketika ini,” kata Karim.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!