21 Januari 2016


Seluruh kepemimpinan UMNO Kedah dan wakil rakyat negeri ini hari ini menyuarakan pendirian hilang kepercayaan ter­hadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri dan Menteri Besar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau yang mewakili semua pemimpin berkenaan merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO segera campur tangan dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.

Katanya, seluruh kepemimpinan negeri kini hilang kepercayaan kepada Menteri Besar ekoran beberapa kelemahan serta ketidakupayaan beliau memimpin parti dan mentadbir negeri ini.

“Antaranya, kegagalan beliau (Mukhriz) dalam menyatupadukan pimpinan UMNO dan jentera parti di semua peringkat negeri. Kedua, kita dapati tiada sebarang perancangan strategik parti bagi parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin hari semakin dekat. Tidak ada perancangan dari segi itu bagaimana hendak hadapi PRU.

“Ketiga, beliau juga gagal mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepemimpinan parti di negeri ini. Ini dirasai dan diluahkan di semua peringkat bahagian.

“Sebagai Menteri Besar beliau juga gagal mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan, itu turut memberi kesan kepada parti. Kami merasakan banyak kelemahan di peringkat parti dan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam satu sidang akhbar tergempar di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan yang diadakan kira-kira pukul 3.30 petang itu dihadiri 14 daripada 15 pemimpin bahagian negeri ini. Hadir sama, ketua sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO negeri serta Ahli Parlimen UMNO negeri ini.

Turut serta dalam sidang akhbar yang berlangsung 15 minit itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Pertahanan selaku Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut kata Ahmad Bashah, UMNO Kedah merayu keprihatinan Perdana Menteri untuk membuat perubahan segera ke atas pimpinan tertinggi parti negeri dan Menteri Besar.

“Sebab itu, kami berhimpun untuk merayu dan membuat permohonan kepada Perdana Menteri untuk menukar Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah.

“Itu harapan kami dan keputusan ini dicapai secara bersama oleh semua kepimpinan parti ne­geri. Inilah suara kami dan rayu keprihatinan Perdana Menteri untuk buat segera keputusan demi masa depan rakyat dan parti untuk hadapi pilihan raya. Kami memohon agar Perdana Menteri lakukan sesuatu yang terbaik untuk negeri kita.

“Kami menyerah kepada budi bicara Perdana Menteri dan menyokong apa juga yang dilakukan oleh beliau," katanya.

Tambah beliau, tindakan segera itu perlu diambil demi menjaga parti dan rakyat negeri ini.

Sementara itu Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan berkata, keputusan secara bersama oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen UMNO Kedah tersebut dilakukan tanpa sebarang agenda peribadi.

“Kita berharap Perdana Menteri segera menyelesaikan kemelut parti ini dan apa yang dilakukan semata-mata demi kelangsungan UMNO Kedah dan rakyat," katanya yang kini berada di London kerana urusan kerja.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!