6 Januari 2016


“Saya pasrah dengan kehendak Allah. Mungkin sudah sampai masanya saya sakit. Saya berjanji akan kuatkan semangat.

“Saya tidak mahu mengalah. Selagi kudrat ada, saya akan terus menghiburkan peminat.”

Demikian kata Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau ketika ditemui di Wad 2D, Hospital Teluk Intan di sini setelah dimasukkan ke hospital kerana mengadu sukar membuang air kecil sejak Ahad lalu.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu kini stabil dan beransur pulih malah tidak sabar untuk kembali menghiburkan peminatnya.

“Saya meminta kepada semua termasuk peminat setia dan rakan seperjuangan supaya mendoakan saya cepat sembuh,” katanya.

Turut berada di samping M. Daud Kilau ialah isterinya, Datin Rohani Awang Ngah dan anak lelakinya, Ahmad Zaini.

Sementara itu, Ahmad Zaini, 44, memberitahu, bapanya dikejarkan di Hospital Teluk Intan setelah mengadu sukar untuk membuang air kecil selain meng­alami penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang.

“Ayah sebenarnya tidak mahu dimasukkan ke wad untuk rawatan kerana sudah berjanji untuk bertemu peminat dalam Konsert Fiesta Bagan Datoh, Ahad lalu iaitu hari sama dimasukkan ke hospital.

“Kami semua anak-beranak faham ayah kecewa kerana tidak dapat membuat persembahan di fiesta tersebut, tetapi dia akur dan mendengar nasihat kami,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!