22 Januari 2016


Real Madrid adalah kelab bola sepak terkaya dari segi pendapatan untuk 11 tahun berturut-turut dan pencabar mereka dalam La Liga Barcelona telah mengatasi Manchester United untuk berada di tempat kedua, menurut Liga Kewangan Bola Sepak yang diwujudkan oleh Deloitte.

Real menerajui senarai yang dikeluarkan oleh firma audit itu semalam, dengan pendapatan tahunan 577 juta euro (RM2.76 bilion) manakala jumlah keseluruhan untuk 20 kelab teratas dalam liga itu meningkat sebanyak lapan peratus untuk mencipta rekod 6.6 bilion euro (RM31.59 bilion).

Kejayaan mengagumkan oleh Barcelona di atas padang pada 2015, apabila mereka memenangi lima daripada enam trofi yang dipertandingkan, termasuk La Liga dan Liga Juara-juara, membantu pasukan itu memintas Manchester United, yang jatuh ke tempat ketiga.

Ini adalah kali pertama masing-masing tiga kelab teratas dalam liga itu melepasi pendapatan 500 juta euro (RM2.39 bilion).

Gergasi Sepanyol, Real, yang mencipta rekod apabila memenangi Liga Juara-juara untuk kali ke-10 pada 2014, menambah kekayaannya menerusi peningkatan pendapatan iklan yang meningkat sebanyak 22.7 juta euro (RM108.66 juta) berbanding musim lepas.


Walaupun kedudukan Manchester United merosot dalam liga itu, pendapatan yang diperoleh mereka tetap positif.

Pengurus Kanan Deloitte Tim Bridge berkata kemunculan semula kelab itu dalam Liga Juara-juara musim ini serta sejumlah perjanjian pengiklanan telah mengukuhkan kewangan kelab itu pada 2015-16.

“Dengan itu, adalah tidak memeranjatkan jika tahun depan kita melihat United mendahului Liga Kewangan buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelab-kelab Liga Perdana kekal sebagai kuasa utama dalam Liga Kewangan dengan sembilan pasukan Inggeris berada dalam senarai 20 teratas dengan pendapatan berjumlah 3 bilion euro (RM14.36 bilion).

Chelsea jatuh satu anak tangga ke tempat kelapan manakala pencabar mereka di London, Arsenal melonjak ke tempat ketujuh.

Malah pendahulu semasa Liga Perdana, Arsenal merupakan kelab yang meraih pendapatan terbesar daripada hari perlawanan di seluruh dunia untuk membolehkannya memintas Chelsea sebagai kelab terkaya di London buat kali pertama dalam tempoh enam tahun.

Pendapatan tambahan yang diperoleh daripada Stadium Emirates yang berkapasiti 61,000 tempat duduk, yang dibuka pada 2006, membolehkan mereka mengatasi kelab-kelab terkemuka lain di Eropah yang menjana pendapatan daripada setiap perlawanan di tempat sendiri.

Mereka mendapat 101.84 juta pound (RM632.2 juta) tahun lalu, mengatasi Real Madrid, yang mendapat 100.12 juta pound (RM621.5 juta) daripada perlawanan di Bernabeu, dan Barcelona, yang meraih 90.17 juta (RM559.3 juta) daripada aksi di Nou Camp.

Dua lagi kelab Liga Perdana, Manchester City dan Liverpool turut berada dalam senarai 10 teratas, masing-masing berkedudukan keenam dan sembilan.

Sebanyak 17 kelab Inggeris berada dalam senarai 30 teratas, termasuk pasukan di tempat kedua Liga Perdana, Leicester dan pasukan tercorot Aston Villa.

Bayern Munich pula jatuh dari tempat ketiga ke anak tangga kelima, kedudukan terendah mereka sejak 2006-07 dan dipintas oleh Paris St. Germain, satu-satunya kelab Perancis dalam senarai 20 teratas

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!