14 Januari 2016


KUALA NERUS - Gara-gara tindakan seorang pengusaha tapak pesta bukan Islam mengurung anjing di dalam buaian menjadi viral di laman sosial, tempias turut dirasai satu-satunya pengusaha pesta ria Muslim, Zamri Embong, 52, apabila perniagaannya didakwa semakin merudum.

Menurut Zamri, segalanya berpunca daripada dakwaan pihak tertentu mengatakan ramai dalam kalangan pengusaha funfair atau tapak pesta ria menggunakan anjing sebagai penjaga barangan, sedangkan tindakan itu hanya melibatkan pengusaha bukan Islam.

“Saya sebenarnya agak dukacita dan terkilan dengan perkara yang menjadi perbualan ramai pihak ketika ini sehingga mengakibatkan perniagaan tapak pesta ria milik saya di Kampung Wakaf Tengah yang sedang berlangsung sehingga 17 Januari ini lengang.

“Saya percaya, ramai yang ragu-ragu untuk berkunjung dan membenarkan anak-anak bermain dengan peralatan di tapak pesta ini kerana beranggapan kami juga turut menggunakan anjing, sedangkan perbuatan itu hanya dilakukan pengusaha bukan Islam.

“Jadi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa tapak pesta ria di sini (Wakaf Tengah) adalah diusahakan oleh saya yang merupakan Melayu dan Islam, jadi adalah mustahil untuk saya menggunakan anjing,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, sebagai satu-satunya pengusaha tapak pesta Muslim di negara ini, dia sememangnya sensitif dengan insiden berkenaan, malah ada dalam kalangan pengunjung yang bertanya sama ada tapak pesta itu milik Muslim atau sebaliknya.

“Tidak dapat dinafikan, sejak berita itu tersebar, perniagaan saya telah jatuh teruk dan pengunjung semakin berkurang.

“Situasi ini begitu membimbangkan saya dan atas sebab itu jugalah saya tampil membuat kenyataan ini,” katanya yang telah 25 tahun terlibat dengan perusahaan tapak pesta ria.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!