15 Januari 2016


Suami kepada model dan pelakon Zahnita Wilson enggan menceraikan wanita itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini kerana masih mahu menyelamatkan rumah tangga mereka.

Ahli perniagaan, Abd. Backery Ghouse Abd. Gafor, 38, memberitahu, beliau telah mendapatkan khidmat kaunseling dari jabatan agama Islam yang berdekatan dan pihak swasta bagi tujuan tersebut.

Beliau memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria dalam sebutan pertama prosiding kes tuntutan perceraian yang difailkan Zahnita, 31.

Ketika ditanya Muhamad Hisyam alasan tidak mahu melepaskan (menceraikan) isterinya itu, Abu Backery turut berkata, perkara tersebut (tuntutan cerai) berlaku secara tiba-tiba.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Februari ini untuk sebutan semula kes berkenaan bagi lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Zahnita diwakili peguam syarie, Suriany Awaludin manakala Abd. Backery diwakili peguam syarie, Yusfa Haris Yussoff.

Zahnita memfailkan permohonan perceraian itu pada 31 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Berdasarkan surat akuan yang difailkan Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, dia memohon untuk bercerai dengan alasan tiada lagi persefahaman antaranya dan suami.

Menurut model itu, perkahwinan mereka tidak boleh dise­lamatkan dan telah tinggal ber­asingan sejak 13 November tahun lalu.

Tuntutan perceraian yang difailkan oleh Zahnita terhadap suami­nya itu adalah kali kedua sepanjang 11 tahun tempoh perkahwinan mereka.

Menurut wanita itu kepada pemberita selepas prosiding kes, kali pertama dia mengemukakan tuntutan yang sama adalah pada 2012.

“Walau bagaimanapun kes itu saya tarik balik kerana saya cuba untuk memperbaiki keadaan dan memastikan hubungan ini berjaya,” katanya.

Zahnita berkata, dua anaknya yang masing-masing berusia sembilan tahun dan tiga tahun kini ber­ada dalam jagaan suaminya.

Sementara itu, Abd. Backery memberitahu pemberita, sebelum ini hubungannya dengan Zahnita baik malah masih menyayanginya.

“Namun pada 13 Disember lalu dia membuat keputusan untuk keluar dari rumah kami,” katanya.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 2005 dan dikurniakan dua anak perempuan, Zahrafeena, 9, dan Zasharayna yang berusia tiga tahun.

Selain perceraian itu, Zahnita turut memfailkan tuntutan hak penjagaan anak (hadanah) sementara dan kekal pada 31 Disember tahun lalu.

Sebutan semula kes itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini telah ditetapkan pada 4 Februari ini di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man.

Pada 7 Januari lalu, Zahnita membuat sidang akhbar menuntut penjelasan Jabatan Imigresen berhubung pengeluaran pasport baharu dua anaknya sedangkan pelakon itu masih menyimpan pasport kanak-kanak itu yang masih sah sehingga Mei 2019.

Dia mendakwa proses pengeluaran pasport itu telah dibuat suaminya untuk membawa kedua-dua anaknya bercuti di Phuket, Thailand pada Disember tahun lalu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!