7 Januari 2016


Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida menegaskan tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan tajaan RM16 juta seperti yang diminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). 

"KAFA minta tajaan RM8 juta semusim untuk tempoh dua musim, tapi saya tidak mempunyai masalah mengeluarkan tajaan sebanyak itu. Cuma apa yang lebih penting saya mahu The Red Warriors (TRW) mencapai kemenangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.   

"Sebagai penaja, sudah tentu kecewa melihat pasukan yang ditaja gagal dalam merebut apa-apa piala nanti. Tapi apa yang diharapkan selepas mendapat suntikan penajaan saya ini, pasukan Kelantan boleh berjaya mencapai kecemerlangan nanti.   

"Saya tidak mahu selepas ditaja, prestasi mahupun kedudukan pasukan masih di paras sama seolah-olah tajaan saya tidak memberi kesan kepada mereka," katanya ketika dihubungi, semalam. 

Bagaimanapun, jutawan kosmetik itu berkata, memandangkan ia membabitkan pelaburan besar, beliau perlu membuat penelitian terlebih dahulu dan memastikan persetujuan boleh dicapai di antara kedua-dua pihak supaya masing-masing mendapat manfaat daripada tajaan berkenaan. 

Katanya, masih terlalu banyak perkara perlu dibincangkan lagi, kerana beliau tidak mahu selepas tajaan berkenaan dikeluarkan, tetapi apa yang diharapkan tidak berlaku. "Bagi saya permintaan KAFA tiada masalah, cuma bila saya tunaikan, mereka perlu memberi ruang kepada saya untuk melakukan sesuatu yang positif kepada pasukan.   

"Saya juga perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesesuaian nilai tajaan itu melalui draf kontrak yang dikemukakan KAFA terlebih dulu. Namun begitu, perasaan saya mengatakan 'jodoh' dengan Kelantan semakin kuat.  

 "Perbincangan rasmi akan diadakan dalam masa terdekat selepas kembalinya Tan Sri Annuar dari Makkah. Pada hari itu, saya akan serahkan draf dokumen kontrak setebal 10 muka surat kepada KAFA termasuk dua syarat awal untuk dibincangkan secara terperinci," katanya. 

Dr Vida sebelum ini memberi dua syarat kepada KAFA - Stadium Sultan Muhammad IV ditukar kepada merah jambu dan nama baharu skuad Kelantan seharusnya didahului dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW) - sebelum setuju menaja pasukan berkenaan.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!