15 Januari 2016


BAGI mereka yang mengikuti program Kilauan Emas, nama Wak Mustar sememangnya bukan asing lagi. Apatah lagi, pemilik nama sebenar Mustaffa Rashid Abdul Jabar ini merupakan Juara Kilauan Emas musim kelima.

Namun, sejak dinobatkan juara, nama Wak Mustar seolah dipandang sepi, sehingga menimbulkan tanda tanya kepada peminat, di mana hilangnya Wak Mustar?

Namun Wak Mustar yang ditemui baru-baru ini menjelaskan, dia masih aktif membuat persembahan nyanyian di beberapa majlis.

Menurutnya, sejak bergelar juara, rezekinya tidak pernah putus sehingga kini, malah setiap minggu ada sahaja jemputan nyanyian yang perlu dia jayakan.

“Alhamdulillah, walaupun tidak terlalu suka dihebohkan di kaca televisyen atau media sosial, rezeki nyanyian tetap saya terima. Terutama untuk majlis perkahwinan atau persembahan oleh pihak kolej,” katanya.

Tambah penyanyi anak lima ini juga, tidak lama lagi dia bakal muncul dengan album pertamanya di bawah penerbitan Studio Warisan berjudul Jumpa Mesra.

“Alhamdulillah baru-baru ini, saya baru habis rakaman untuk album yang mungkin hujung bulan ini dilancarkan. Lagu-lagu dalam album saya itu terdapat 10 lagu kesemuanya di mana empat lagu baharu dan lain lagu penyanyi lain yang saya nyanyikan semula.

“Album itu nanti banyak lagunya ke arah irama nasyid.

InsyaALLAH jika jadi, akan dilancarkan di kampung sahaja dengan menjemput wakil rakyat tempat tinggal saya ini dan ketua kampung serta pihak terlibat,” katanya.

Wak Mustar turut berkongsi yang dia bakal memasuki pentas Mega Kilauan Emas.

“Rabu lalu saya telah hadir untuk sesi fotografi apabila tersenarai untuk Mega Kilauan Emas tersebut. Ia bakal menampilkan juara-juara Kilauan Emas dari siri pertama sehingga kelima,” katanya.

Namun seperti pernah diperkatakan dahulu apabila bergelar juara, dia tidak mengharapkan untuk memegang status itu pada pertandingan itu nanti.

“Saya memang tidak harap untuk jadi juara, cukup jika masuk sehingga peringkat pertama dan kedua sahaja. Walaupun hadiahnya lebih lumayan, tetapi saya rasa cukup dengan apa rezeki ketika ini. Tidak mengharap langsung untuk bergelar juara,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!