DUBAI - Sebuah mahkamah Dubai hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap seorang anggota polis, kerana menyiarkan video memaparkan pasport bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi di media sosial.
Akhbar The Gulf News melaporkan, anggota polis itu yang hanya dikenali sebagai J.J, dikritik teruk berikutan tindakannya yang disifatkan ‘menyalahguna sistem telekomunikasi’.
Dia mengaku bersalah dan mengaku memuatnaik video memaparkan pasport Messi di aplikasi mesej video, Snapchat menerusi telefon pintarnya.
Insiden itu berlaku pada Disember lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ketika Messi menghadiri Anugerah Bola Sepak Global dan dipilih sebagai Pemain Terbaik 2015.
Ketika kejadian, anggota polis tersebut mahu mengambil gambar dengan Messi, namun diberitahu bintang bola sepak itu terlalu penat untuk memenuhi permintaannya, lapor akhbar The National, bulan lalu.
“Dia kemudian pergi ke meja pemeriksaan pasport lalu ternampak pasport Messi. Anggota polis itu merakam video dirinya memegang pasport tersebut,” lapor akhbar berkenaan.