25 Februari 2016


Tiada ribut mahupun angin kencang, tiba-tiba sahaja dunia hiburan digemparkan dengan cerita penyanyi dan pelakon, Farahdhiya Mohd. Amin, 32, hampir sahaja menjadi mangsa sindiket pelacuran yang menyasarkan golongan selebriti, khususnya wanita.

Tidak cukup dengan itu, penyanyi berusia 31 tahun ini juga mendedahkan individu tidak bermoral itu juga menggunakan identiti artis lain untuk mengumpan kepercayaan selebriti sasaran mereka kononnya mahu memberi pekerjaan untuk program.

Malah, indidvidu tersebut juga telah meminta gambar serta saiz badan sehingga menyebabkan penyanyi yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati itu mula berasa ragu-ragu dan hilang kepercayaan.

Selidik punya selidik, rupa-rupanya individu itu menyamar dan bukan sahaja penyanyi itu, malah ramai lagi artis yang hampir termakan umpan yang sama digunakan oleh dengan sindiket pelacuran itu.

Farahdhiya menerusi laman Instagramnya turut berkongsi petikan perbualan antara penyanyi itu dan individu tersebut. Malah, gambar tersebut mendapat respon daripada beberapa artis antaranya Nad Zainal yang turut sama menerima pesanan daripada individu tersebut.

Hits memaparkan luahan hati rasa berang anak kelahiran Itali ini yang dikongsi di laman sosialnya.

Hits: Assalamualaikum. Boleh Farahdhiya ceritakan bagaimana kejadian ini berlaku?

Farahdhiya: Waalaikumsalam. Saya rasa kejadian yang berlaku ini perlu dikongsikan kepada semua khususnya artis wanita di luar sana supaya mereka dapat mengambil iktibar serta lebih berhati-hati dengan sindiket pelacuran tersebut.

Jadi, mungkin boleh kongsikan sedikit bagaimana Farahdhiya hampir sahaja termakan umpan sindiket pelacuran tersebut.

Begini ceritanya, tiga bulan lepas satu akaun Instagram, ALLYISKANDAR_ telah menghantar pesanan kepada saya untuk mendapatkan nombor telefon kononnya individu tersebut mahu memberi saya tawaran untuk mengacarakan program.

Saya tidak merasakan apa-apa keraguan lagi sebab saya sudah beberapa kali bekerja dan berjumpa dengan Ally Iskandar, jadi saya rasa tiada masalah untuk saya memberi nombor telefon terutama berkaitan dengan kerja.

Jadi, bagaimana Farahdhiya mula sedar individu tersebut bukan Ally Iskandar yang sebenar?

Bila saya beri nombor telefon itu, kami mula berbual seperti biasa. Tiada masalah kerana perbualan itu hanya tertumpu kepada tawaran kerja dan semuanya seperti profesional.

Malah dia turut menawarkan saya tawaran antaranya, mengacara dengan bayaran RM30,000 sehingga RM140,000. Namun, pada pertengahan perbualan saya mula rasa pelik dan ragu-ragu dengan kesahihan individu tersebut.

Apa yang membuatkan Farahdhiya mula rasa ragu?

Pada pertengahan perbualan, dia mula meminta saiz ukuran badan saya. Malah siap minta gambar depan dan belakang badan saya. Tidakkah pelik untuk meminta sedemikian hanya untuk mengacara?
Jadi, Farahdhiya beri atau tidak gambar yang diminta?

Gila! Nasib baik saya tidak beri sebab saya tahu mana yang betul dan mana yang tidak. Pelik sangat permintaan itu.

Bila rasa ragu mula timbul, bagaimana Farahdhiya menyiasat individu tersebut bukan Ally Iskandar yang sebenar?

Bila saya rasa pelik, saya cuba menghubungi Ally Iskandar yang sebenar. Rupa-rupanya sudah ramai terkena dengan tawaran sindiket tersebut. Bagi saya, ini sangat kurang ajak dan terlalu biadap. Patutlah siap minta gambar yang bukan-bukan.

Apabila sedar diri sudah ditipu, kerana itu Farahdiya mendedahkan perkara tersebut di laman sosial?
Itulah, saya risau dengan artis-artis baharu. Takut mereka terkena penipuan yang sama. Ini nombor telefon ‘Ally’ penipu itu +6011-40265905, semua diharap berhati-hati ya.

Laporan polis sudah dibuat?

Saya akan buat laporan polis. Perkara seperti ini harus disiasat supaya tiada lagi kejadian ini.
Mungkin ada pesanan daripada Farahdiya kepada umum?

Jangan terlalu percaya manusia, sebab sekarang ini ramai sangat yang bertopeng dan penipu di dalam dunia. Sedih namun itulah kebenarannya kerana saya juga nyaris terkena.

Saya minta agar kejadian ini diviralkan supaya tiada yang akan tertipu. Terima kasih.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!