10 Mac 2016


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif yakin ada pendorong di sebalik tindakan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said sehingga beliau berani membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Beliau juga mengakui ada diberi "amaran" bahawa "sesuatu" akan berlaku dan diminta berhati-hati. "Saya yakin ada pendorong untuk beliau lakukan itu sebab beliau tidak akan berani kalau berseorangan," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Menteri Besar di sebuah hotel di sini, malam tadi. 

Perjumpaan yang dihadiri kira-kira 300 pemimpin sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, MIC, MCA dan Gerakan negeri: Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK); Veteran UMNO dan badan bukan kerajaan itu bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Ahmad Razif menerajui Terengganu. 

Ahmad Razif berkata, siasatan sedang dijalankan dan dalang di sebalik keberanian Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal itu sehingga menimbulkan kekecohan dan ketegangan politik di negeri ini bakal diketahui nanti. 

Ketika membahaskan titah perasmian Persidangan DUN kelmarin, Ahmad mengejutkan Dewan apabila mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif. Bagaimanapun, usul Ahmad itu yang mendapat sokongan ADUN pembangkang ditolak Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zubir Embong dengan alasan Ahmad melanggar peraturan DUN berikutan tidak mengemukakan notis. 

Ahmad Razif juga berkata, beliau rela jika terpaksa berkorban sekiranya ia boleh memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang. "Jangan fikirkan mengenai diri saya. 

Ramai orang bertanya apa legasi yang saya mahu cipta ketika pentadbiran saya. Jawapan saya, saya mahu cipta legasi kemenangan besar dalam PRU-14. "Malah, saya juga mahu tiga mantan menteri besar sebelum ini bersama saya bagi memastikan kemenangan besar Terengganu dalam PRU-14 nanti," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!