31 Mac 2016


Kedudukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang kini terpalit kontroversi pembelian banglo pada harga luar biasa murah dilihat semakin meruncing selepas turut menerima tekanan daripada pemimpin DAP sendiri.

Terbaharu, Guan Eng dilaporkan turut didesak Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN), DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu supaya berehat sementara siasatan kes pembe­lian banglonya itu selesai.

Memetik laporan portal berita Free Malaysia Today, Yee Cheu didakwa berkata, pemimpin DAP sebelum ini sering kali mendesak pihak lain khususnya pemimpin Barisan Nasional (BN) bercuti daripada jawatan masing-masing apabila terbabit dalam sebarang kontroversi.

Sehubungan itu, beliau didakwa berkata, pemimpin DAP juga sepatutnya melakukan perkara sama iaitu melaksanakan apa yang sering dikatakan mereka.

“Parti ini sepatutnya menunjukkan yang kita berpegang kepada prinsip kerajaan yang baik, maka mana-mana pemimpin yang berdepan tuduhan sepatutnya berehat daripada jawatannya,” kata­nya seperti dipetik menerusi portal itu.

Dakwa Yee Cheu lagi, ketika ini persepsi negatif terhadap pe­mimpin DAP dan kepimpinannya di negeri ini meningkat disebabkan kontroversi pembelian banglo oleh Guan Eng itu dan kaitannya dengan tanah Taman Manggis.

Oleh yang demikian, katanya, DAP perlu mengambil langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap prinsip cekap, akauntabiliti dan telus dalam kalangan individu yang terpalit dengan kontroversi itu.

“Tetapi sekarang semua orang bercakap tentang isu banglo ini dan mereka mempunyai tanggapan buruk terhadap pemimpin tertentu,” katanya.

Menurut portal itu, Yee Cheu yang sebelum ini sememangnya terkenal kerana sering dilihat tidak sehaluan dengan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang menulis tentang rasa tidak puas hatinya tersebut kepada Guan Eng dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow Jumaat lalu.

Malah, beliau menerusi surat itu juga, Yee Cheu turut menasihati pemimpin DAP supaya lebih berani menjelaskan tuduhan tersebut kepada rakyat.

“Sudah semestinya, semua tuduhan itu belum dibuktikan tetapi rakyat mempuyai persepsi buruk terhadap parti ketika ini.

“Integriti kerajaan negeri dan keyakinan rakyat telah terhakis dan kredibiliti sesetengah pemimpin telah terjejas teruk,” katanya.

Beliau dipetik lagi sebagai berkata, pemimpin DAP sepatutnya de­ngan jelas dan tegas berikrar kepada rakyat yang mana parti itu sentiasa menentang amalan rasuah di semua peringkat termasuk dalam kalangan mereka sendiri.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan menyarankan Guan Eng bercuti sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian banglo miliknya yang mencetuskan kemarahan penduduk negeri ini.

Banglo itu yang terletak di Jalan Pinhorn, Jelutong di sini, dibeli Guan Eng tahun lalu pada harga hanya RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran semasa hartanah sedemikian di kawasan tersebut boleh mencecah sehingga RM5 juta.

Lebih menimbulkan kontroversi apabila pemilik banglo itu, Phang Li Koon turut dikaitkan dengan individu di dalam sebuah syarikat yang berjaya membeli ta­nah di Taman Manggis di sini.

Tanah di Taman Manggis itu sebelum ini diperuntukkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) tetapi dirancang pemaju untuk dibina hospital swasta dan hotel.

Transaksi pembelian tanah itu juga dipersoalkan banyak pihak selepas kerajaan negeri menjualnya kepada pemaju hanya pada harga RM11 juta sedangkan terdapat tawaran lain yang menetapkan harga kira-kira RM20 juta.

Dalam pada itu, usaha mendapatkan penjelasan daripada Yee Cheu sendiri tidak berjaya selepas beliau gagal dihubungi dan tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan Utusan Malaysia menerusi WhatsApp.

Utusan Malaysia juga difahamkan, artikel asal berkenaan dakwaan Yee Cheu di laman portal beri­ta tersebut juga sudah ditarik balik.

Begitu pun, Yee Cheu dijangka memberi maklum balas berkenaan dakwaan beliau itu kepada pembe­rita esok selepas beliau dijadualkan bertemu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Law Choo Kiang di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Pertemuan beliau dengan Choo Kiang pukul 11 pagi esok juga dijangka sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas beliau dikatakan akan menyerahkan memo berhubung gesaan supaya tempoh tempoh jawatan Ketua Menteri dihadkan hanya kepada dua penggal.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!