24 Mac 2016


Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan peguam bukan Islam tidak boleh beramal sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah. 

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu melalui penghakiman majoriti 3-2 selepas membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Panel dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Jun 2013 yang mendapati MAIWP bertindak di luar bidang kuasa apabila enggan memproses permohonan seorang peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk beramal sebagai peguam syarie. 

Hakim yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim. 

Dalam penghakiman itu, keputusan majoriti bagi persoalan undang-undang pertama mendapati Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 yang memperuntukkan syarat dan kelayakan peguam syarie iaitu mesti beragama Islam, tidak bercanggah Seksyen 59(1) Akta pentadbiran Undang-Undang Islam 1993. Seksyen 59(1) menyatakan sesiapa saja termasuk bukan Islam yang mempunyai pengetahuan mencukupi dalam undang-undang syariah boleh diterima masuk sebagai peguam syarie. 

Suriyadi dan Zaharah bagaimanapun menentang dapatan majoriti itu. Bagi persoalan perundangan kedua pula, panel sebulat suara berpendapat Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 tidak bercanggah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Ia membabitkan Perkara 5 (kebebasan asasi dan diri); Perkara 8(1) (kesamaan); Perkara 8(2) (hak untuk bergerak dan Perkara 10 (1) (kebebasan bersuara). Pada 17 Mac 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Jayaseele selepas memutuskan MAIWP mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengeluarkan syarat mengenai pelantikan peguam syarie yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. 

Jayaseele, 54, yang memperoleh Diploma Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2004, memohon tindakan undang-undang di mahkamah sivil selepas permohonannya diterima sebagai peguam syarie ditolak MAIWP. Dalam permohonan itu, Jayaseele memohon satu perintah membatalkan keputusan MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie yang menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!