10 Mac 2016


Kemelut Pahang kini semakin parah selepas jurulatih yang menjadi sasaran mereka untuk memulihkan prestasi skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad menolak tawaran untuk mengambil alih pasukan bagi mengharungi persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Legenda bola sepak Singapura itu mengesahkan, dia telah dihubungi oleh pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang mahu menawarkan kontrak sebagai pengendali baharu Tok Gajah.

“Memang betul mereka ada meng­hubungi saya sebelum ini dan benar mereka ada tawarkan kontrak kepada saya.

“Bagaimanapun, saya tolak tawaran itu kerana saya masih mempunyai kontrak di sini (penolong jurulatih skuad kebangsaan Singapura) hingga hujung Disember ini.

“Perbincangan lanjut mengenai tawaran itu saya tidak boleh dedahkan...apa yang saya boleh katakan, sebarang rundingan hanya boleh diadakan selepas kontrak saya tamat,” kata Fandi ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sewaktu zaman kegemilangannya, Fandi, 53, pernah beraksi bersama beberapa pasukan tanah air, temasuk Pahang dan Kuala Lumpur sebelum kembali menyertai beberapa kelab di Singapura dan bersara pada 1999.

Fandi juga pernah menggalas tugas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) selama hampir setahun bermula 2012 sebelum menamatkan kontrak bersama juara Piala AFC 2015 itu.

Selepas itu, bekas bintang penye­rang Singapura tersebut kembali menabur bakti bersama Lions XII selama setahun bermula 2013 dan berjaya merangkul kejuaraan Piala FA 2015 selepas menewaskan Kelantan 3-1.

Skuad Tok Gajah musim ini gagal mencatat sebarang kemenangan dalam persaingan liga, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan tercorot, selain tersingkir seawal pusingan ketiga Piala FA selepas tewas 0-1 kepada kelab Liga Perdana, Sime Darby di tempat sendiri.

Prestasi buruk pada awal persaingan musim ini mendorong Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC, Fahrizal Hasan meletakkan jawatan pada Ahad lalu, dan keadaan menjadi bertambah buruk apabila ketua jurulatih Ahmad Shaharuddin Rosdi serta pembantunya Azaruddin Aziz mengambil keputusan sama kelmarin.

Selain Fandi, Pahang sebelum ini turut dikaitkan dengan bekas jurulatih Kedah, Ramon Marcote, yang enggan menyambung kontrak sejurus tamat persaingan musim lalu, manakala rakan senegaranya dari Argentina, Luis Isla dikatakan bakal menjadi pembantu.

Selepas diasak dengan pelbagai persoalan mengenai hala tuju Pahang yang kini tidak menentu menjelang pertembungan Liga Super menentang Felda United, Sabtu ini, PNBP akan bermesyuarat di Kuantan hari ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!