23 Mac 2016


Ipoh: Lima lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan selepas melarikan wanita Kemboja berusia 19 tahun dihadapan kedai serbaneka di Jalan Mustapha Al Bakri, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.28 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai dilarikan kumpulan lelaki berusia antara 21 hingga 49 tahun yang menaiki dua kenderaan ketika membeli barangan di kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 7.45 malam daripada orang awam dan kemudian majikan mangsa berusia 38 tahun turut membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru, di sini.
  
Menurutnya, susulan itu gerakan mengesan mangsa dan suspek dijalankan termasuk dengan bantuan kumpulan sukarelawan awam.

"Pada 8.30 malam, kumpulan lelaki yang melarikan wanita Kemboja itu berjaya dikesan di Plaza Tol Ipoh Selatan dan polis serta pasukan sukarelawan berjaya memintas dan menahan kenderaan mereka.

"Tangkapan membabitkan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh bersama kenderaan jenis Nissan X-Trail serta Proton Persona dan wanita yang dilarikan turut berjaya diselamatkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini tengah malam tadi.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan bekerja dengan sebuah agensi pekerja asing di Johor dan motif kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan pekerjaan mangsa.

"Siasatan lanjut masih dijalankan, namun difahamkan mangsa mungkin melarikan diri daripada agensi tempat suspek bekerja serta dikatakan cuba memujuk pekerja lain meninggalkan agensi terbabit.

"Kes setakat ini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah," katanya.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!