15 Mac 2016


Bekas penyerang import Kelantan, Erwin Carrillo menegaskan, tindakannya untuk memanjangkan isu tunggakan gaji yang dihadapi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) disebabkan dia sudah kecewa dan berputus asa dengan bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Pemain Colombia berusia 32 tahun itu berkata, dia sudah me­lakukan semua prosedur yang diperlukan untuk menuntut haknya, termasuk menghantar surat pemberitahuan menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun tidak mendapat sebarang bayangan isu berkenaan akan selesai.

Carrillo yang mewakili Kelantan selama semusim pada 2015 mendedahkan, peguamnya telah menghantar dua surat pemberitahuan kepada Kafa mengenai masalah tunggakan gaji tiga bulan berjumlah AS$55,000 (RM224,000), tetapi persatuan itu tidak memberi sebarang maklum balas.

“Peguam saya sudah menghantar surat pemberitahuan sebanyak dua kali kepada mereka (Kafa). Satu surat diberikan secara terus kepada Kafa, manakala satu lagi melalui FAM.

“Bagaimanapun mereka (Kafa) tidak memberi sebarang jawapan dan sebab itu saya terpaksa serahkan kes ini kepada FIFA,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kenyataan Carrillo itu jelas bercanggah dengan penjelasan Kafa, yang menegaskan mereka tidak pernah 'melarikan diri' daripada menyelesaikan isu tunggakan gaji melibatkan beberapa bekas barisan pemainnya musim lalu.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor berkata, pihaknya sentiasa mengadakan mesyuarat dengan pe­ngurusan pasukan bagi mencari jalan penyelesaian dan mahu isu tersebut segera diselesaikan.

“Kafa tidak pernah mendiamkan diri dalam isu ini dan kita tahu tanggungjawab sebagai bekas majikan yang perlu dipatuhi.

“Untuk makluman semua, kita sedang berusaha keras untuk menyelesaikan masalah ini dan berharap bekas pemain dapat memberi sedikit masa kepada kami,” katanya.

Selain Carrillo yang kini menyarung jersi kelab Colombia, Real Cartagena, Kelantan turut berdepan masalah tunggakan gaji lima bekas pemain iaitu Amiridzwan Taj Tajuddin, Mohd. Fitri Omar, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani dan Muhammad Nazri Ahmad.

Jumlah tunggakan gaji keseluruhan yang melibatkan lima pemain tempatan tersebut adalah RM477,000.

Mengulas me­ngenai tindakan Carrillo, Ismail mengambil pendekatan mengunci mulut daripada memberikan sebarang komen.

“Itu adalah hak pemain ber­kenaan, jadi saya tidak mahu ulas tindakanya itu.

“Secara peribadi saya berpendapat, isu ini sepatutnya dibincangkan secara dalaman dan merujuk perkara itu kepada Kafa bukan melalui media,” ujarnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!