29 Mac 2016


Veteran UMNO Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan perjuangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini bukan lagi perjuangan untuk orang Melayu, sebaliknya lebih bersifat peribadi.

Beliau berkata sebagai pemimpin yang telah lama dikenalinya, beliau berasa sedih dengan tindakan yang diambil Dr Mahathir yang jelas bercanggah dengan perjuangannya sebelum ini.

"Saya tak nampak ia (Kongres Rakyat) berjaya sebab amat jelas bahawa Tun mengadakan program-program ini sekali gus menidakkan apa yang dia buat dahulu. Dahulu beliau mempunyai keyakinan dan kesabaran untuk menaikkan UMNO semula dan orang Melayu, sekarang politik beliau bukan untuk orang Melayu lagi, bukan untuk semerbak perjuangan dalam BN (Barisan Nasional) lagi.

"Beliau menjadikan arena politiknya sebagai arena peribadi dan apa sebab, tentulah ada kaitan dengan rentetan peristiwa yang membawa kepada (pemecatan) Datuk Seri Muhkriz di Kedah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini selepas majlis Santapan Minda anjuran Yayasan Budi dan Biro Penerangan BN Parlimen Jelebu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Kongres Rakyat pada Ahad di Shah Alam, Selangor yang turut disertai oleh Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan berkata beliau tidak tertarik untuk menyertai atau memberi sokongan kepada hujah-hujah yang disambut baik oleh pembangkang dan pihak yang mahu menurunkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

"Perlu ditegaskan dalam sistem demokrasi dan perundangan negara bahawa memang boleh seseorang itu seperti Tun Mahathir seru agar perdana menteri meletak jawatan. Namun, kesemua ini perlu diasaskan kepada undang-undang negara (yang mana) ada dua perkara yang seharusnya difikirkan.

"Ia ialah apabila Majlis Tertinggi UMNO memutuskan tidak percaya kepada beliau (Najib) atau apabila anggota Parlimen di Dewan Rakyat meluluskan undi tidak percaya terhadap beliau. Jika sebarang langkah ini tidak dapat dilaksanakan, maka Najib tidak boleh diseru untuk letak jawatan waima dengan sejuta tandatangan diperoleh oleh Tun Mahathir dan sekutunya," katanya.

Oleh demikian katanya, sekiranya perasaan tidak puas hati itu hendak diterjemahkan oleh mana-mana pihak, ia boleh dilakukan menerusi pilihan raya.

"Sementara itu, benarkan perdana menteri dan (jemaah) Kabinetnya menjalankan tugas negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya UMNO dan BN terus mempertingkatkan usaha bagi memenangi hati dan minda golongan muda menerusi pemerkasaan media sosial dan juga sistem penyampaian.

"Cabaran bagi kita di PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) bukan kecil sebab generasi muda dalam lingkungan umum 21-40 berada pada tahap lebih 60 peratus. Jadi gesaan dan juga kegiatan dalam talian mesti ditingkatkan.

"Cara ini, saya kira memang mencabar dan kita perlu dalam keadaan yang suntuk untuk memperbaiki sistem penyampaian dan keberkesanan kita," katanya sambil menambah supaya parti komponen turut sama bekerja keras dengan tulus dan ikhlas bagi meyakinkan pengundi.

Mengulas mengenai sama ada BN mampu terus meraih sokongan rakyat ekoran terpalit dengan pelbagai isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kejatuhan nilai Ringgit, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Rais menegaskan jika rakyat melihat bahawa kerajaan terus ikhlas, produktif, membantu dan meningkatkan kehidupan, tak ada sebab untuk rakyat menolak.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!