22 Mac 2016


Pihak bomba dan pasukan polis terpaksa mengambil masa hampir tiga jam bagi menenangkan keadaan seorang lelaki yang mengamuk menggunakan pedang samurai di rumah keluarganya di Kampung Seri Puchong, Batu 13, awal pagi tadi.

Difahamkan, dia yang mengalami masalah mental dan pernah mendapat rawatan berhubung penyakit itu mula mengamuk kira-kira jam 11.30 malam, semalam.

Tindakan luar kawal lelaki berusia lingkungan 40-an yang merosakkan barang dalam rumah menimbulkan kebimbangan kepada keluarganya hingga pasukan bomba serta pihak polis terpaksa dipanggil bagi mengawal keadaan.

Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hisam Mat Yasih berkata, pihaknya menerima panggilan daripada adik kandung lelaki tersebut kira-kira jam 3.25 pagi.

Bertindak atas maklumat, sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Sepasukan anggota polis katanya sudah ke rumah tersebut selepas menerima laporan kira-kira jam 11.50 malam.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa menggunakan pancutan air untuk menenangkan lelaki terbabit  sebelum dia berjaya diserahkan kepada pihak polis tiga jam selepas itu.

“Pengadu beritahu abangnya memang mempunyai masalah gangguan mental, dia terpaksa menghubungi bomba dan polis apabila diancam di rumah keluarganya,”katanya.

Hasil maklumat diterima, lelaki tersebut yang pernah dirawat di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan dikatakan sudah lama tidak menerima rawatan susulan.

“Adik mangsa memberitahu abangnya sebelum ini mahu merawat sendiri penyakit dihidapi dan tidak memerlukan bantuan atau pertolongan sesiapa sehinggalah kejadian ini berlaku,” katanya tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Operasi mengawal keadaan di rumah tersebut ditamatkan kira-kira jam 7.18 pagi, tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.‎

Katanya, lelaki tersebut ditahan anggota cawangan pencegahan jenayah (CPJ) dengan bantuan pihak bomba.

"Dia kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut," katanya.‎
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!